Tips Biasiswa: Panduan Mencari Biasiswa Untuk Ibubapa
Tips Biasiswa: Panduan Mencari Biasiswa Untuk Ibubapa
Ramai orang percaya bahawa menjadi ibubapa adalah saat yang paling membahagiakan dalam kehidupan. Jika anda seorang ayah, mungkin masih teringat keseronokan yang dirasai pada saat isteri anda melahirkan anak yang pertama. Walaupun anda terpaksa berjaga hampir setiap malam, namun anda sanggup berkorban demi menjaga anak kesayangan. Ibubapa yang baik pastinya sanggup berkorban apa sahaja untuk memastikan anak-anak mendapat kehidupan yang sempurna.
Memang tidak dinafikan bahawa mempunyai anak-anak mendatangkan kebahagiaan. Namun begitu, kebahagiaan hakiki hanya dapat dicapai jika anda menumpahkan tanggungjawab sepenuhnya ke atas mereka. Ibubapa yang bertanggungjawab akan berusaha untuk menyediakan kesemua keperluan anak-anak; keperluan fizikal, emosi dan pendidikan. Walaupun kos pendidikan, terutamanya di peringkat universiti adalah tinggi, ibubapa bertanggungjawab untuk menyediakan kesemuanya untuk menampung keperluan anak-anak.
Jika sekarang anda mempunyai anak yang akan melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, anda patut mula berfikir tentang keperluan kewangan dan pembiayaan anak anda. Mungkin anda dulu pernah melalui pengalaman sebagai seorang mahasiswa, dan semestinya anda menyedari betapa banyak wang belanja yang diperlukan. Namun, perbezaannya sekarang, anda adalah ibubapa, dan anda bertanggungjawab untuk mencari sumber kewangan untuk menampung perbelanjaan anak anda di peringkat universiti; membayar yuran, sara hidup, alat-alat tulis, tempat tinggal, pengangkutan dan lain-lain yang pastinya memakan belanja yang besar. Lebih-lebih lagi jika anak anda belajar jauh dari tempat tinggal sekarang, sudah semestinya lebih banyak perbelanjaan diperlukan.
Memikirkan tentang perbelanjaan menampung pengajian anak-anak sememangnya akan mendatangkan tekanan dan sakit kepala, terutamanya jika pendapatan anda sekarang hanya cukup-cukup untuk menampung keperluan asas keluarga. Walaupun anda mungkin ada menyimpan untuk pendidikan anak-anak, simpanan anda mungkin masih belum mencukupi. Di sinilah pentingnya untuk anda mengetahui sumber-sumber kewangan yang dapat membantu mengatasi masalah ini. Bagaimana untuk anda mula mencari sumber-sumber bantuan ini? Berikut adalah beberapa tips yang boleh dijadikan panduan:
1. Semasa anak anda hampir menamatkan persekolahan ataupun kolej matrikulasi, anda sebaik-baiknya mula mencari tawaran-tawaran biasiswa yang ada diiklankan di akhbar-akhbar atau laman web. Yang penting, kenalpasti penaja, syarat-syarat kelayakan dan tarikh tutup permohonan biasiswa.
2. Mencari universiti-universiti atau kolej-kolej yang ada menawarkan bantuan biasiswa atau pinjaman pelajaran kepada para pelajar. Kenalpasti juga kursus-kursus pengajian yang ada ditawarkan. Jika berpeluang, boleh meminta anak-anak untuk menimbang membuat permohonan kemasukan ke universiti atau kolej tersebut.
3. Jika anda bekerja dengan sebuah syarikat besar, boleh bertanya kepada majikan samaada menyediakan bantuan biasiswa atau pinjaman pelajaran untuk anak-anak kakitangan. Jika ada, jangan ketinggalan untuk memohon bantuan tersebut kerana peluang untuk anak anda mendapat bantuan tersebut adalah lebih cerah bersandarkan kedudukan anda sebagai kakitangan syarikat.
4. Jangan lupa untuk mencari maklumat berkenaan bantuan biasiswa yang ditawarkan kerajaan persekutuan dan negeri. Kerajaan persekutuan biasanya menawarkan biasiswa melalui agensi-agensinya seperti JPA, Mara dan Bank Negara, manakala kerajaan negeri melalui yayasan anak negeri. Boleh juga memohon daripada pusat-pusat zakat negeri.
5. Meminta bantuan kepimpinan kawasan seperti wakil rakyat, penghulu ataupun ketua kampung. Mereka mungkin ada mengenali individu-individu yang bermurah hati menawarkan bantuan kewangan kepada para pelajar. Anda boleh mencuba untuk meminta bantuan daripada mereka.
6. Sekarang ini, banyak bank-bank komersial dan institusi-institusi kewangan seperti koperasi ada menawarkan bantuan biasiswa dan pinjaman pelajaran. Lebih baik lagi, pinjaman pelajaran yang ditawarkan biasanya mempunyai kadar faedah yang lebih rendah daripada pinjaman-pinjaman lain.
7. Berbincang dengan anak berkenaan bantuan biasiswa dan pinjaman pelajaran yang sesuai. Nasihati anak anda supaya cermat menguruskan perbelanjaan semasa di universiti kelak. Sedarkan dia bahawa dia bertanggungjawab sepenuhnya ke atas semua perbelanjaan yang akan dilakukan.
Dengan pelbagai bentuk dan saluran bantuan biasiswa yang tersedia, masa depan pembelajaran anak-anak anda adalah terjamin walaupun anda mengalami kesempitan wang untuk menampung pendidikan anak-anak anda. Yang penting, anda dan anak anda harus berusaha untuk mendapatkan biasiswa yang terbaik.
Klik di sini untuk mendapatkan senarai 57 biasiswa yang terdapat di Malaysia
Klik di sini untuk review Kit Biasiswa