Biasiswa Pelajaran | Pinjaman Pelajaran | Dermasiswa

Tips Biasiswa: Tips Memohon Biasiswa

Tips Biasiswa: Tips Memohon Biasiswa


Berikut adalah beberapa panduan dan tips utama yang perlu anda tahu sebagai persediaan memohon biasiswa:

1. Mengambil tahu bila tawaran biasiswa dibuka dan ditutup. Sesetengah tawaran dibuka untuk tempoh yang singkat sahaja, jadi amatlah penting untuk pemohon 'alert' tentang tawaran tersebut. Sebaik-baiknya, gunakan kalendar dan rancang agar anda dapat menghantar permohonan awal selepas tawaran dibuka dan tidak terlepas sehingga ke tarikh tutup. Kebiasaannya, permohonan yang dihantar selepas tarikh tawaran ditutup tidak akan dilayan oleh pihak penaja. Kelewatan sebegini meberi gambaran yang si pemohon tidak mempunyai perancangan yang tidak sistematik dan teratur.

2. Kumpulkan dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan oleh pihak penaja dengan lebih awal. Jangan lupa untuk mendapatkan pengesahan salinan untuk setiap salinan dokumen yang dibuat. Persediaan lebih awal dapat memberi lebih masa untuk pemohon menyempurnakan setiap dokumen yang diperlukan dan mengelakkan kelam-kabut yang mungkin menyebabkan ada dokumen tertinggal untuk diserahkan. Dokumen yang disediakan secara kelam-kabut dan tidak lengkap berkemungkinan besar akan menyebabkan permohonan ditolak serta-merta.

3. Usah meminggirkan pencapaian-pencapaian kecil yang anda peroleh. Mungkin anda ada terlibat dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum, dilantik memegang beberapa jawatan dalam persatuan dan kelab, menang dalam mana-mana pertandingan ataupun mendapat penghargaan atas sumbangan anda, walaupun kecil, tapi jangan lupa untuk dimasukkan ke dalam permohanan anda. Sertakan bukti seperti sijil penghargaan atau surat lantikan. Mana tahu, pencapaian-pencapaian kecil ini mungkin akan membuatkan penaja kagum dan memilih anda sebagai calon berpotensi untuk ditaja.

4. Sediakan resume anda dengan sebaik-baiknya. Dapatkan panduan dan tips membuat resume yang terbaik. Jika ada mana-mana senior atau rakan anda yang ditaja oleh mana-mana penaja biasiswa, jangan lupa untuk meminta salinan resume mereka untuk dijadikan panduan. Pastikan yang resume anda kemas, mengandungi maklumat yang betul dan sentiasa dikemas kini jika ada sebarang tambahan maklumat dan pencapaian. Resume adalah cara terbaik untuk mengekspresikan buah fikiran anda serta menunjukkan pencapaian dan keterlibatan anda dalam akademik dan aktiviti-aktiviti kokurikulum.

5. Fikir dengan teliti berkenaan siapa yang sebaik-baiknya menulis surat sokongan untuk anda. Sebaik-baiknya, pilih seseorang yang profesional dan dekat dengan anda, sesorang yang mengetahui dengan jelas tentang kelebihan anda dan kebolehan anda mengatasi masalah dan cabaran. Jika anda seorang pelajar lepasan SPM, pilihlah pengetua anda. Jika anda pelajar lepasan kolej matrikulasi ataupun pelajar yang sedang mengikuti pengajian, pensyarah anda adalah calon terbaik untuk menulis surat sokongan.

6. Mungkin ada penaja yang menghendaki para pemohon untuk menulis sebuah esei berkenaan sesuatu topik untuk dihantar bersama-sama permohonan. Jika ini diminta, esei yang anda tulis hendaklah menunjukkan personaliti anda yang berkarisma. Luahkan idea-idea anda dengan cara yang menarik, bijaksana dan bermakna. Tulis esei anda secara 'natural', tidak terlalu berlebih-lebihan dan disertakan dengan contoh-contoh yang spesifik.

7. Jangan lupa untuk semak dan baca semula sebarang surat permohonan, esei ataupun dokumen-dokumen penting sebelum menghantar kepada penaja. Minta tolong daripada ibubapa, rakan, guru atau pensyarah untuk memberi pandangan dan cadangan untuk menambah baik semua dokumen yan akan dihantar. Kesilapan atau skil penulisan yang lemah akan memberi kesan yang negatif kepada permohonan anda. Sebab itulah semakan perlu dilakukan untuk mengelakkan kesan sebegini.

8. Simpan satu salinan permohonan anda. Selepas beberapa hari menghantar permohonan, sila hubungi penaja untuk memeriksa samaada semua dokumen permohonan telah diterima atau tidak. Jika tidak diterima, bolehlah untuk bersiap sedia untuk menghantar salinan yang ada. Mungkin permohonan asal anda hilang ketika proses penghantaran. Tetapi, maklumkan dulu kepada penaja yang anda akan menghantar salinan sekali lagi, agar pihak penaja tidak keliru jika terdapat dua permohanan yang sama dari anda.

9. Jika anda dimaklumkan yang anda telah terpilih untuk ditaja oleh mana-mana penaja, sebaik-baiknya anda menghantar nota terima kasih sebagai tanda penghargaan. Jika anda dipanggil untuk temuduga, carilah panduan dan tips sebagai persiapan untuk menghadiri sesi temuduga biasiswa tersebut.

Klik di sini untuk mendapatkan senarai 57 biasiswa yang terdapat di Malaysia
 Klik di sini untuk review Kit Biasiswa

Tips Hebat Mendapatkan Biasiswa

Tips Hebat Mendapatkan Biasiswa

Menyediakan permohonan yang menarik perhatian pihak penaja merupakan satu proses yang sukar. Untuk entri kali ini, saya akan memberikan beberapa tips penting untuk membuat permohonan biasiswa yang sempurna. Tips-tips yang diberikan akan membantu anda untuk menghasilkan permohonan yang baik, menarik perhatian pihak penaja, memastikan anda tidak melepasi tarikh tamat memohon dan lain-lain lagi.

1. Selidiki kemahuan pihak penaja
Orang yang memenangi biasiswa adalah orang yang berjaya memenuhi apa yang dikehendaki oleh pihak penaja. Oleh itu, jika ingin mendapatkan biasiswa, pastikan anda memenuhi hasrat dan kemahuan penaja. walau kelihatan mudah, namun kebanyakan pelajar hanya memenuhi kehendak asas yang diperlukan penaja dan kemudian berharap menjadi pilihan. Jangan hanya melakukan sedemikian. Baca keseluruhan maklumat berkenaan organisasi penaja dan skim biasiswa yang ditawarkan untuk mencari kehendak sebenar yang dicari oleh penaja. Dengan memenuhi kehendak yang diingini penaja akan meningkatkan peluang anda mendapat biasiswa.

2. Sertai aktiviti kokurikulum
Kebanyakan penaja tidak secara mudah memilih pelajar yang layak berdasarkan kepada keputusan peperikasaan mereka. Sebaliknya, pihak penaja akan turut melihat kepada pencapaian-pencapaian lain terutamanya dalam bidang kepimpinan dan aktiviti-aktiviti kokurikum. Adakah pelajar ini aktif menyumbang kepada komuniti? Adakah pelajar menyertai dan memenangi sebarang pertandingan? Apakah minat dan kecenderungan pelajar? Pihak penaja biasanya berminat memberi tajaan kelajar yang cemerlang secara keseluruhannya, bukan sekadar dalam bidang akademik. Keputusan peperiksaan adalah penting, tetapi itu hanya memeperlihatkan sebahagian sahaja kejayaan seseorang. Oleh itu, mulakan dari sekarang. Cari kelab atau persatuan yang sesuai untuk anda sertai. Cari aktiviti-aktiviti kokurikulum yang anda minati.

3. Berhati-hati dengan tarikh tutup tawaran
Anda mungkin tidak menyedari yang anda telah terlepas memohon biasiswa-biasiswa yang menarik hanya kerana anda tidak sedar tentang tarikh tutup tawaran. Apabila pelajar memohon banyak kepada banyak penaja biasiswa pada satu-satu masa, mereka cenderung untuk keliru dengan tarikh tutup tawaran setiap biasiswa yang berbeza-beza. Untuk mengelakkan situasi sebegini, sebaik-baiknya tulis atas kalendar atau 'planner'. Tuliskan nama skim biasiswa pada setiap tarikh tutup masing-masing dengan pen merah, dan pen hitam pada tarikh seminggu sebelum tarikh tutup. Kemudian, cubalah untuk menghantar permohonan sebelum tarikh yang bertanda hitam (seminggu lebih awal dari tarikh tutup).

4. Semak permohonan beberapa kali
Bagaimana untuk meningkatkan peluang anda mendapat biasiswa dengan mudah? Jawapannya, dengan menyemak semula permohonan anda beberapa kali sebelum dihantar. Kebanyakan pihak penaja langsung tidak mempedulikan permohonan yang tidak lengkap, atau dibuat secara sambil lewa. Pastikan semua maklumat yang diberi adalah betul dengan ejaan yang betul. Kemudian, semak semua dokumen-dokumen sokongan sekali lagi. Jika ada menulis surat permohonan atau sebarang esei, semak dengan membaca kuat. Cuba kesan sebarang kesalahan ejaan atau tatabahasa. Dengan memperuntukkan sedikit masa menyemak kesemuanya boleh meningkatkan peluang anda mendapat biasiswa.

5. Cari dan mohon lagi
Jangan berpuas hati dengan menghantar permohonan kepada beberapa penaja sahaja. Cari dan mohon lagi kepada penaja-penaja yang lain. Proses mendapatkan biasiswa sememangnya sukar, dan memerlukan usaha yang gigih. Dengan menghantar permohonan biasiswa kepada banyak penaja, bukan sahaja akan meningkatkan peluang mendapatkan biasiswa, malah anda akan mendapat persaingan yang kurang jika memohon kepada biasiswa-biasiswa 'low profile'.

6. Uruskan masa dan persekitaran
Pengurusan masa yang baik adalah ciri penting yang perlu ada pada seorang pelajar. Ini akan membantu masa pembelajaran anda, dan juga permohonan biasiswa anda. Apabila semuanya diurus dengan baik, anda dapat memberi sepenuh perhatian kepada permohonan biasiswa anda. Sebaliknya, jika dalam keadaan tidak terurus, anda akan hilang fokus, mudah terganggu dan kehilangan dokumen-dokumen penting. Dengan pengurusan masa yang baik juga, anda boleh mengelakkan terlepas tarikh tutup tawaran. Jika masa diurus dengan tidak baik, anda mungkin telah menyedari bahawa anda telahpun terlepas tarikh tutup dan tidak sempat menghantar permohonan biasiswa. Kesimpulannya, uruskan masa dan persekitaran anda dengan baik.

7. Sediakan resume biasiswa terbaik
Bersama-sama norang permohonan ataupun surat permohonan biasiswa, sebaik-baiknya disertakan juga dengan resume. Dalam resume ini, masukkan semua maklumat penting seperti pencapaian, kepimpinan, penglibatan aktiviti kemasyarakatan dan pengalaman kerja jika ada. Pastikan resume ditulis dengan maklumat yang betul dan mengandungi maklumat-maklumat yang betul sahaja. Harus diingat, anda perlu menghantar salinan bukti untuk setiap maklumat yang ditulis dalam resume.

8. Tulis esei terbaik
Untuk menguji kebolehan pemohon, pihak penaja mungkin akan memberi satu tajuk khas dan meminta pemohon yang berminat untuk menulis esei berkaitan tajuk tersebut. Sebaik-baiknya, jangan hanya menulis fakta abstrak. Berikan fakta dan contoh-contoh yang berkaitan. Misalnya, berbanding menulis esei abstrak berkenaan penglibatan aktiviti kemasyarakatan di universiti, sebaik-baiknya tulis berkenaan pengalaman anda semasa melibatkan diri dalam mana-mana aktiviti seumpama atau berkaitan. Ini adalah cara terbaik untuk menonjolkan kelebihan anda. Pihak penaja biasiswa mahu mendengar tentang pengalaman anda, bukan semata-mata fakta abstrak.

9. Senarai semak kelayakan
Semak berulang-ulang kali tentang syarat-syarat kelayakan minima yang diletakkan oleh pihak penaja biasiswa. Pastikan anda betul-betul layak untuk memohon biasiswa yang ditawarkan. Semak dari segi syarat CGPA, umur, kursus pengajian ataupun penglibatan kokurikulum. Ini akan menjimatkan masa anda jika anda mendapati bahawa anda tidak layak. Daripada menumpukan kepada biasiswa itu, lebih baik anda mencari dan memohon kepada biasiswa yang lain.

Jika anda menjadikan langkah-langkah di atas sebagai panduan dalam memohon biasiswa, anda akan lebih mudah untuk membuat permohonan biasiswa dan lebih tahu berkenaan penilaian yang akan dilakukan oleh panel penaja biasiswa. Hasilnya, jika anda melakukan yang terbaik, peluang untuk mendapatkan biasiswa adalah lebih cerah.

Klik di sini untuk mendapatkan senarai 57 biasiswa yang terdapat di Malaysia
 Klik di sini untuk review Kit Biasiswa

Tips Cara Terbaik Memohon Biasiswa

Cara Terbaik Memohon Biasiswa


Banyak cara yang boleh dilakukan untuk membiayai pengajian di peringkat tinggi. Ada yang memohon biasiswa, pinjaman pelajaran, bantuan persendirian individu-individu tertentu, bekerja sendiri ataupun bagi yang berkemampuan, dibiayai sepenuhnya oleh ibubapa. Namun, tanpa syak lagi, tajaan biasiswa adalah yang paling terbaik. Pelajar yang ditaja tidak perlu lagi memikirkan tentang masalah kewangan kerana semuanya dibiayai oleh penaja; yuran pengajian dan bantuan sara hidup. Tambahan lagi, semuanya adalah percuma. Pelajar tidak perlu bimbang perlu membayar semula selepas tamat belajar, dengan syarat mematuhi semua terma kontrak tajaan.

Tetapi, boleh dikatakan bahawa mencari dan mendapatkan biasiswa adalah sesuatu yang memerlukan usaha sepenuhnya, semuanya bergantung kepada masa, kesedaran tentang tawaran yang ada dan persediaan yang betul. Untuk memastikan biasiswa berada dalam genggaman, seorang pelajar seharusnya dapat membezakan mana tawaran yang terbaik dan paling sesuai dengan kelayakan yang dimiliki. Dan yang lebih penting, pemohon mesti bersedia untuk memohon biasiswa dengan melakukan persediaan yang tepat.

Secara umumnya, apabila mengharap untuk mendapatkan biasiswa pelajaran, langkah-langkah yang berikut boleh dilakukan:

1. Mulakan proses pencarian lebih awal
Proses mencari penaja-penaja biasiswa yang sesuai hendaklah bermula dari awal lagi. Jika anda masih bersekolah, mulakan sebelum tamat persekolah. Jika masih di kolej matrikulasi, mulakan sebelum tamat kolej. Jika baru saja memulakan pengajian di universiti, mulakan secepat mungkin sebelum semester seterusnya. Semakin lama ditunggu, semakin banyak peluang anda terlepas.

2. Kenali diri-sendiri
Kenali semua kelayakan, kekuatan, kelemahan, pencapaian akademik dan aktiviti-aktiviti kokurikulum yang kita ada. Ini akan membantu semasa proses pemilihan penaja biasiswa yang sesuai. Kita akan dapat menentukan kelayakan kita berdasarkan syarat-syarat yang dikeluarkan pihak penaja.

3. Cari maklumat biasiswa dengan pelbagai cara
Pelbagaikan cara dalam mencari tawaran biasiswa. Kebiasaannya, pihak penaja akan menyiarkan iklan dalam akhbar-akhbar utama negara dan di paparan website mereka. Gunakan sepenuhnya enjin carian, Facebook, Twitter dan forum-forum di internet. Banyakkan bergaul dengan rakan-rakan yang lain supaya tidak ketinggalan dengan tawaran yang disiarkan. Semakin luas pencarian, semakin tinggi mendapatkan biasiswa.

4. Senaraipendekkan penaja yang sesuai
Berdasarkan kelayakan kita dan syarat-syarat yang dikemukan pihak penaja, senaraipendekkan biasiswa-biasiswa yang dirasakan layak memohon. Ini untuk memastikan kita fokus dan tidak membuang masa terhadap biasiswa-biasiswa yang sukar diperoleh.

5. Sediakan resume
Sebuah resume yang memaparkan maklumat-maklumat diri, kebolehan dan pencapaian perlualah disediakan sebaik-baiknya dengan memfokus kepada perkara-perkara yang boleh membantu mendapatkan biasiswa-biasiswa yang telah disenaraipendekkan. Pastikan format resume adalah betul.

6. Kumpul dokumen-dokumen sokongan
Segala dokumen-dokumen sokongan hendaklah disediakan lebih awal supaya tiada yang tertinggal. Periksa dokumen yang ada dengan yang diminta oleh penaja dan juga yang disenaraikan dalam resume. Pastikan semuanya disediakan salinan yang disahkan untuk dihantar.

7. Borang atau surat permohonan
Dapatkan borang permohonan daripada penaja jika ada. Jika tiada, sediakan sekeping surat permohonan. Jangan ragu-ragu atau takut untuk menghubungi pihak penaja jika ada sebarang kekeliruan dan pertanyaan.

8. Mematuhi syarat-syarat permohonan
Pastikan anda mematuhi semua syarat-syarat permohonan. Isi borang mengikut arahan yang telah diberi. Sediakan dokumen-dokumen sokongan seperti yang diminta. Hantar permohonan ke alamat yang sepatutnya sebelum tarikh tutup yang ditetapkan. Jika perlu dihantar secara 'online', tukarkan kesemua borang, surat dan dokumen ke format PDF dan hantar melalui emel anda sendiri.

9. Selepas permohonan
Selepas menghantar permohonan biasiswa, hubungi penaja 3-4 hari selepas itu untuk memastikan semuanya telah diterima. Banyakkan berdoa agar terpilih ke peringkat seterusnya. Pihak penaja mungkin akan memilih calon-calon berpotensi untuk ditemuduga, jadi bersedialah untuk ditemuduga. Jika setelah beberapa lama tidak dihubungi, anda mungkin tidak terpilih. Usah berputus asa, mulakan untuk memohon dengan penaja-penaja yang lain.

Kejayaan mendapatkan tajaan biasiswa yang baik bergantung kepada nasib dan usaha, lebih banyak bergantung kepada usaha. Jadi, pastikan anda memberi komitmen dan daya usaha sepenuhnya untuk memastikan tuah anda mendapat biasiswa.

Klik di sini untuk mendapatkan senarai 57 biasiswa yang terdapat di Malaysia
 Klik di sini untuk review Kit Biasiswa
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tentang Blog

Blog ini bertujuan memberi panduan dan tips berkaitan biasiswa dan pinjaman pelajaran. Sebarang komen, cadangan dan pertanyaan boleh diemel ke mysohojob[at]gmail.com (gantikan [at] dengan @)

Kit Biasiswa

Iklan Premium

Kit Biasiswa

Iklan Premium

Entri Popular

Kit Biasiswa

Senarai Agensi Kerajaan

Kerjaya Swasta

Rahsia Resume Kerja

Rahsia Temuduga Kerajaan

loading...

Pautan Luar

BlogMalaysia.com