Biasiswa Pelajaran | Pinjaman Pelajaran | Dermasiswa

Awas Biasiswa Palsu!

Awas Biasiswa Palsu!


Awas dengan biasiswa palsu! Walaupun jarang kedengaran berita-berita di Malaysia yang memaparkan berita-berita melibatkan penipuan biasiswa, namun perkara ini banyak terjadi di luar negara. Para penipu mengambil kesempatan terhadap para pelajar yang berharap untuk mendapat biasiswa; mereka ditipu untuk dibayar atau melakukan sesuatu yang diingini oleh penipu. Ramai yang telah kerugian wang akibat terpedaya dengan skim biasiswa palsu yang diiklankan. Tidak mustahil untuk perkara sebegini berlaku di negara kita suatu hari nanti. Gunakan panduan-panduan yang diberikan ini untuk memastikan kejadian ini tidak berlaku pada anda.

1. Tiada maklumat perhubungan
Jika anda terjumpa mana-mana iklan tawaran biasiswa yang tidak memaparkan sebarang maklumat untuk menghubungi pihak penaja, sila berhati-hati. Ini adalah ciri utama skim biasiswa palsu.

2. Tiada rekod tawaran sebelum ini
Periksa samaada tawaran pernah dibuka sebelum ini. Periksa juga jika pernah ada mana-mana pelajar yang ditaja oleh skim biasiswa tersebut. Kemungkinan biasiswa adalah biasiswa baru ataupun biasiswa palsu. Berhati-hati dan periksa dengan lebih teliti lagi.

3. Yuran permohonan
Jika pihak pengiklan tawaran biasiswa meminta bayaran untuk sebarang permohonan, berkemungkinan besar itu adalah biasiswa palsu. Mereka mungkin mendakwa bayaran perlu untuk memastikan pemohon yang serius sahaja, ataupun sebagai deposit yang akan dipulangkan semula. Usah mudah terpedaya dan jauhilah mereka. Amat pelik jika memerlukan wang untuk memberi wang. Pihak penaja yang ikhlas menaja biasiswa biasanya tidak akan mengenakan sebarang bayaran kepada pemohon.

4. Layanan kasar
Anda digalakkan menghubungi pihak penaja sebelum menghantar permohonan. Di samping mendapatkan maklumat lebih lanjut, anda berpeluang memeriksa penaja tersebut, samaada palsu ataupun benar. Jika anda menerima layanan yang kasar dan tidak sewajarnya, tidak perlulah membazir masa dan tenaga untuk menghantar permohonan lagi.

5. Siapa cepat dia dapat
Ada penaja biasiswa membuat tawaran 'siapa cepat dia dapat', bermakna siapa yang hantar dulu pasti akan berjaya mendapat biasiswa. Ini adalah salah satu taktik skim biasiswa palsu. Jadi, berhati-hatilah jika ternampak tawaran sebegini.

6. Pemberitahuan melalui telefon
Amat jarang pihak penaja memaklumkan tentang pemilihan calon tajaan kepada yang layak melalui telefon. Sebaliknya, cara yang biasa digunakan adalah melalui emel, surat rasmi disertai pengumuman di akhbar-akhbar atau laman web mereka. Oleh itu, sekiranya anda ada dimaklumkan bahawa anda dipilih untuk biasiswa, cuba periksa dahulu kesahihan berita tersebut di laman web penaja atau tunggu surat rasmi terlebih dahulu.

7. Semua orang layak
Jika ada penaja biasiswa yang meletakkan syarat-syarat kelayakan yang amat rendah dalam tawaran mereka seolah-olah semua orang layak memohon, berhati-hatilah. Pihak penaja biasiswa yang sebenar semestinya mengkehendaki calon-calon yang terbaik untuk ditaja. Meletakkan syarat-sayarat yang amat minimum akan menyusahkan mereka untuk memilih kerana permohonan yang terlalu banyak.

8. Syarikat baru ditubuhkan
Penaja biasiswa dari kalangan syarikat-syarikat swasta biasanya adalah organisasi-organisasi besar yang telah lama bertapak dan mempunyai kedudukan yang kukuh. Jarang untuk sebuah syarikat baru atau kecil untuk menawarkan biasiswa. Jika ada, harus berhati-hati dan periksa dahulu latarbelakang syarikat dan skim biasiswa yang ditawarkan.

9. Iklan yang meragukan
Sebarang unsur-unsur yang meragukan dalam iklan tawaran seperti nama penaja yang tidak diketahui, tarikh tutup tidak dinyatakan dan maklumat-maklumat yang mengelirukan adalah antara ciri-ciri skim biasiswa palsu.

10. Meminta maklumat tidak sepatutnya
Beberapa maklumat sulit, terutamanya nombor akaun bank dan kad ATM tidak seharusnya diberikan kepada pihak penaja sebelum anda disahkan mendapat biasiswa yang ditawarkan. Jika ada yang meminta lebih awal, selidiki mengapa dan untuk apa maklumat tersebut diperlukan. Jika jawapan yang diberikan adalah munasabah dan menyakinkan, bolehlah diberi maklmumat yang diminta. Jika tidak, berhati-hatilah.

Itulah saja beberapa ciri penting yang perlu diteliti untuk menentukan samaada tajaan biasiswa yang diiklankan adalah betul ataupun palsu. Mungkin kes-kes penipuan skim biasiswa tidak pernah didengari sepertimana penipuan lain contohnya skim cepat kaya dan skim pelaburan palsu, tetapi kemungkinan untuk berlaku tetap ada. Harus diingat, penjenayah sekarang semakin licik memperdaya mangsa. Mana tahu, jika anda tidak berhati-hati, andalah mangsa pertama untuk kes sebegini.

Klik di sini untuk mendapatkan senarai 57 biasiswa yang terdapat di Malaysia
 Klik di sini untuk review Kit Biasiswa

1 comment:

  1. 2 hari lalu saya di maklumkan bahawa saya terpilih untuk mendapat biasiswa melalui handphone...bagaimana jika pohak pemberitahu tidak mempunyai laman sesawang yang rasmi?adakah itu palsu?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tentang Blog

Blog ini bertujuan memberi panduan dan tips berkaitan biasiswa dan pinjaman pelajaran. Sebarang komen, cadangan dan pertanyaan boleh diemel ke mysohojob[at]gmail.com (gantikan [at] dengan @)

Kit Biasiswa

Iklan Premium

Kit Biasiswa

Iklan Premium

Entri Popular

Kit Biasiswa

Senarai Agensi Kerajaan

Kerjaya Swasta

Rahsia Resume Kerja

Rahsia Temuduga Kerajaan

loading...

Pautan Luar

BlogMalaysia.com