Biasiswa Pelajaran | Pinjaman Pelajaran | Dermasiswa

Tips Biasiswa: Panduan Mencari Biasiswa Untuk Ibubapa

Tips Biasiswa: Panduan Mencari Biasiswa Untuk Ibubapa


Ramai orang percaya bahawa menjadi ibubapa adalah saat yang paling membahagiakan dalam kehidupan. Jika anda seorang ayah, mungkin masih teringat keseronokan yang dirasai pada saat isteri anda melahirkan anak yang pertama. Walaupun anda terpaksa berjaga hampir setiap malam, namun anda sanggup berkorban demi menjaga anak kesayangan. Ibubapa yang baik pastinya sanggup berkorban apa sahaja untuk memastikan anak-anak mendapat kehidupan yang sempurna.


Memang tidak dinafikan bahawa mempunyai anak-anak mendatangkan kebahagiaan. Namun begitu, kebahagiaan hakiki hanya dapat dicapai jika anda menumpahkan tanggungjawab sepenuhnya ke atas mereka. Ibubapa yang bertanggungjawab akan berusaha untuk menyediakan kesemua keperluan anak-anak; keperluan fizikal, emosi dan pendidikan. Walaupun kos pendidikan, terutamanya di peringkat universiti adalah tinggi, ibubapa bertanggungjawab untuk menyediakan kesemuanya untuk menampung keperluan anak-anak.

Jika sekarang anda mempunyai anak yang akan melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, anda patut mula berfikir tentang keperluan kewangan dan pembiayaan anak anda. Mungkin anda dulu pernah melalui pengalaman sebagai seorang mahasiswa, dan semestinya anda menyedari betapa banyak wang belanja yang diperlukan. Namun, perbezaannya sekarang, anda adalah ibubapa, dan anda bertanggungjawab untuk mencari sumber kewangan untuk menampung perbelanjaan anak anda di peringkat universiti; membayar yuran, sara hidup, alat-alat tulis, tempat tinggal, pengangkutan dan lain-lain yang pastinya memakan belanja yang besar. Lebih-lebih lagi jika anak anda belajar jauh dari tempat tinggal sekarang, sudah semestinya lebih banyak perbelanjaan diperlukan.

Memikirkan tentang perbelanjaan menampung pengajian anak-anak sememangnya akan mendatangkan tekanan dan sakit kepala, terutamanya jika pendapatan anda sekarang hanya cukup-cukup untuk menampung keperluan asas keluarga. Walaupun anda mungkin ada menyimpan untuk pendidikan anak-anak, simpanan anda mungkin masih belum mencukupi. Di sinilah pentingnya untuk anda mengetahui sumber-sumber kewangan yang dapat membantu mengatasi masalah ini. Bagaimana untuk anda mula mencari sumber-sumber bantuan ini? Berikut adalah beberapa tips yang boleh dijadikan panduan:

1. Semasa anak anda hampir menamatkan persekolahan ataupun kolej matrikulasi, anda sebaik-baiknya mula mencari tawaran-tawaran biasiswa yang ada diiklankan di akhbar-akhbar atau laman web. Yang penting, kenalpasti penaja, syarat-syarat kelayakan dan tarikh tutup permohonan biasiswa.

2. Mencari universiti-universiti atau kolej-kolej yang ada menawarkan bantuan biasiswa atau pinjaman pelajaran kepada para pelajar. Kenalpasti juga kursus-kursus pengajian yang ada ditawarkan. Jika berpeluang, boleh meminta anak-anak untuk menimbang membuat permohonan kemasukan ke universiti atau kolej tersebut.

3. Jika anda bekerja dengan sebuah syarikat besar, boleh bertanya kepada majikan samaada menyediakan bantuan biasiswa atau pinjaman pelajaran untuk anak-anak kakitangan. Jika ada, jangan ketinggalan untuk memohon bantuan tersebut kerana peluang untuk anak anda mendapat bantuan tersebut adalah lebih cerah bersandarkan kedudukan anda sebagai kakitangan syarikat.

4. Jangan lupa untuk mencari maklumat berkenaan bantuan biasiswa yang ditawarkan kerajaan persekutuan dan negeri. Kerajaan persekutuan biasanya menawarkan biasiswa melalui agensi-agensinya seperti JPA, Mara dan Bank Negara, manakala kerajaan negeri melalui yayasan anak negeri. Boleh juga memohon daripada pusat-pusat zakat negeri.

5. Meminta bantuan kepimpinan kawasan seperti wakil rakyat, penghulu ataupun ketua kampung. Mereka mungkin ada mengenali individu-individu yang bermurah hati menawarkan bantuan kewangan kepada para pelajar. Anda boleh mencuba untuk meminta bantuan daripada mereka.

6. Sekarang ini, banyak bank-bank komersial dan institusi-institusi kewangan seperti koperasi ada menawarkan bantuan biasiswa dan pinjaman pelajaran. Lebih baik lagi, pinjaman pelajaran yang ditawarkan biasanya mempunyai kadar faedah yang lebih rendah daripada pinjaman-pinjaman lain.

7. Berbincang dengan anak berkenaan bantuan biasiswa dan pinjaman pelajaran yang sesuai. Nasihati anak anda supaya cermat menguruskan perbelanjaan semasa di universiti kelak. Sedarkan dia bahawa dia bertanggungjawab sepenuhnya ke atas semua perbelanjaan yang akan dilakukan.

Dengan pelbagai bentuk dan saluran bantuan biasiswa yang tersedia, masa depan pembelajaran anak-anak anda adalah terjamin walaupun anda mengalami kesempitan wang untuk menampung pendidikan anak-anak anda. Yang penting, anda dan anak anda harus berusaha untuk mendapatkan biasiswa yang terbaik.

Klik di sini untuk mendapatkan senarai 57 biasiswa yang terdapat di Malaysia
 Klik di sini untuk review Kit Biasiswa

Tips Biasiswa: Panduan Sebelum dan Semasa Sesi Temuduga Biasiswa

Tips Biasiswa: Panduan Sebelum dan Semasa Sesi Temuduga Biasiswa


Menghadapi temuduga biasiswa sama pentingnya seperti menghadapi temuduga kerja. Temuduga biasiswa menentukan kejayaan anda untuk mendapatkan tajaan biasiswa pilihan dan seterusnya mempengaruhi kehidupan anda dalam tempoh bergelar mahasiswa nanti. Malahan, dengan mendapatkan biasiswa, anda mungkin telah menjamin masa depan kerjaya anda kerana ada penaja biasiswa yang menawarkan kontrak kerja sebaik saja tamat pengajian. Tidak dinafikan, rasa gemuruh ketika menghadapi sesi temuduga akan menyebabkan calon-calon hilang arah, kelu lidah dan tidak dapat menonjolkan kebolehan diri yang sebenar. Namun, sekiranya anda membuat persedian awal, anda akan dapat menguasai sesi temuduga biasiswa nanti. Berikut adalah beberapa panduan dan tips untuk menghadapi sesi temuduga biasiswa:

Sebelum Temuduga

1. Bersiap-sedia sebaik-baiknya
Fikirkan berkenaan objektif dan tujuan sesi temuduga tersebut dijalankan. Semak semula maklumat-maklumat berkenaan diri anda yang anda telah diberikan kepada pihak penaja semasa membuat permohonan biasiswa. Kemungkinan besar, soalan-soalan yang ditanya akan berdasarkan kepada maklumat-maklumat yang telah anda berikan. Cipta beberapa soalan yang mungkin ditanya, dan rangka jawapan yang sesuai. Pastikan jawapan yang diberi menonjolkan kebolehan diri anda.

2. Berlatih bersama-sama rakan
Anda mungkin akan menghadiri sesi temuduga biasiswa bersama-sama rakan-rakan anda. Jika ada, perlulah saling berbincang, bertukar-tukar pendapat berkenaan sesi temuduga nanti dan berlatihlah bersama-sama untuk menghaadapi sesi temuduga biasiswa itu. Minta rakan-rakan anda untuk mengesan sebarang kelemahan percakapan anda, seperti kerap mengulang perkataan-perkataan tertentu, frasa ayat yang salah dan tona suara yang tidak sesuai. Perbetulkan sebelum hari temuduga biasiswa anda.

3. Siapkan semua dokumen-dokumen yang perlu
Semasa diberitahu yang anda layak untuk menghadiri sesi temuduga biasiswa, pihak penaja mungkin akan meminta anda untuk membawa beberapa dokumen penting. Jika tidakpun, pastikan anda membawa salinan borang permohonan, surat sokongan dan salinan-salinan asal sijil-sijil yang telah anda hantar. Siapkan semuanya, dan susun dengan baik dalam sebuah fail yang mudah dibelek dan dilihat.

Semasa Temuduga

1. Pakaian yang sesuai
Jagalah penampilan anda ketika menghadiri sesi temuduga biasiswa. Penampilan anda memberi tanggapan pertama kepada para penilai biasiswa. Pakai pakaian yang selesa dan tidak terlalu kasual. Sebaik-baiknya, pakai pakaian formal dan tidak melebihi dua warna. Gabungan putih dan hitam adalah yang terbaik. Sila pakai kasut dan stokin, jangan sekali-kali memakai selipar!

2. Menepati waktu
Berikan tanggapan yang baik terhadap diri anda dengan tiba tepat pada waktunya. Jangan sekali-kali lewat! Rancang perjalanan dengan baik supaya tiba dengan selamat sebelum sesi temuduga biasiswa bermula. Dengan tiba sebelum masanya, anda bukan sahaja memberi tanggapan yang baik, malah memberi anda lebih ruang masa untuk bertenang dan bersedia sebelum berdepan dengan panel-panel penemuduga.

3. Jaga percakapan anda
Apabila ditanya, jawablah dengan ayat penuh dalam nada penuh keyakinan dan tona suara yang sesuai. Elakkan terlalu banyak mengulang perkataan-perkataan celahan seperti 'hhmm', 'eee' dan 'lah'. Jika ditanya soalan-soalan tertutup yang memerlukan jawapan ya atau tidak, berikan sedikit penjelasan kepada setiap jawapan yang anda beri. Panel penemuduga mungkin ingin menguji keupayaan anda untuk memberi penjelasan. Jika ada sebarang soalan yang tidak difahami, tidak salah untuk meminta panel penumduga memberi penjelasan atau mengubah struktur soalan. Tetapi, awas, jagan terlalu kerap!

4. Perhatikan bahasa tubuh anda
Postur tubuh, pergerakan mata, senyuman anda, semuanya akan diperhatikan oleh panel penemuduga. Pastikan anda menunjukkan bahasa tubuh yang meyakinkan. Letakkkan kedua-dua tangan anda di atas paha ataupun meja, menunjukkan seolah-olah anda dalam keadaan tenang. Elakkan tangan dari menyentuh muka, menggaru kepala atau menyentuh rambut.

5. Pandangan mata yang betul
Semasa sesi temuduga biasiswa, pastikan mata anda memandang kepada penemuduga. Jika da lebih daripada seorang, pandanglah kepada yang bertanyakan soalan kepada anda. Jangan memandang lantai atau siling semasa mendengar atau bercakap.

6. Beri jawapan yang meyakinkan
Apabila menjawab soalan-soalan penemuduga, huraikan jawapan anda dengan sejelas-jelasnya. Harus diingat, panel penemudugalah yang akan menentukan samaada jawapan anda betul atau salah. Jika penemuduga cuba melakukan provokasi dengan anda, bertenang dan jelaskan sebaik-baiknya kenapa pendapat anda bertentangan dengan beliau. Berikan jawapan-jawapan yang akan menonjolkan kelebihan diri anda. Jika ditanya tentang kelemahan diri anda, jangan mencipta alasan, sebaliknya akui dan tonjolkan kelebihan kita dalam bidang yang lain. Huraikan bagaimana kelebihan tersebut dapat menyembunyikan kelemahan yang ada.

7. Penutup yang baik
Pastikan anda mempunyai penutup yang baik. Panel penemuduga mungkin akan meminta anda untuk menanyakan sebarang soalah kepada mereka. Sebaik-baiknya, anda bersedia dengan satu atau dua soalan yang berkaitan dengan topik yang dibincangkan semasa sesi temuduga, tentang biasiswa yang dimohon atau kemajuan organisasi penaja. Penutup yang baik menunjukkan anda melibatkan diri dengan baik dalam sesi temuduga tersebut. Ucapkan terima kasih kerana memberi peluang untuk menghadiri sesi temuduga. Keluar dari bilik temuduga dengan beradab, jangan terburu-buru dan jangan pula berlengah-lengah.

Selain panduan-panduan di atas, beberapa perkara yang pelu dielakkan adalah:
1. Mengunyah sesuatu
2. Menagih simpati
3. Menguap
4. Melihat pada jam
5. Kelihatan bosan
6. Gelisah berlebih-lebihan

Klik di sini untuk mendapatkan senarai 57 biasiswa yang terdapat di Malaysia
 Klik di sini untuk review Kit Biasiswa

Tips Biasiswa: Soalan-soalan Panas Patut Ditanya Tentang Biasiswa

Tips Biasiswa: Soalan-soalan Panas Patut Ditanya Tentang Biasiswa


Dengan pelbagai pilihan tajaan biasiswa yang terdapat di Malaysia, para pelajar kadang-kadang menjadi keliru untuk memilih yang paling baik dan sesuai untuk mereka. Untuk memohon kepada semua jenis biasiswa yang ada, mungkin akan memakan masa dan membuatkan pelajar hilang fokus untuk memberikan yang terbaik semasa membuat permohonan biasiswa. Sebaik-baiknya, para pelajar hanya fokus kepada beberapa jenis biasiswa yang sesuai dengan kelayakan mereka dan mempunyai peluang yang cerah untuk terpilih. Untuk tujuan ini, beberapa soalan boleh ditanya untuk menentukan jenis biasiswa yang terbaik untuk dibuat permohonan. Dengan bertanyakan soalan-soalan yang berikut, para pelajar tidak akan mudah hilang fokus:

1. Berapa lama tempoh tajaan biasiswa?
Soalan ini perlu ditanya kepada semua jenis biasiswa kerana setiapnya mempunyai tempoh tajaan yang mungkin berbeza. Sesetengahnya mungkin hanya untuk beberapa tahun pengajian, ada yang sehingga tamat pengajian. Ada yang membenarkan pelanjutan tempoh tajaan jika pelajar tidak dapat menghabiskan pengajian dalam masa sepatutnya, ada juga yang tidak. Sebaik-baiknya, pilihlah skim biasiswa yang akan menaja sehingga tamat tempoh pengajian dan boleh dilanjutkan tempoh tajaan. Bakal pemohon dinasihatkan menghubungi pihak penaja untuk bertanyakan tentang hal ini kerana mungkin tidak tercatat dalam iklan tawaran.

2. Berapa jumlah tajaan?
Sekali lagi, jawapan untuk soalan ini mungkin berbeza antara satu tajaan biasiswa dengan yang lain. Kebanyakan skim biasiswa akan membiayai sepenuhnya yuran pengajian dan bantuan sara hidup. Walaupun kedua-duanya ditaja, jumlah tajaan mungkin berbeza. Ada juga penaja biasiswa yang membiayai jumlah yang berbeza mengikut zon; zon bandar menerima lebih banyak tajaan berbanding zon luar bandar. Namun, ada juga yang hanya membayar yuran pengajian atau bantuan sara hidup sahaja. Jumlah tajaan biasanya tidak dinyatakan dalam ilan tawaran. Jadi, bakal pemohon perlulah aktif bertanya agar tidak tersalah pilih.

3. Bagaimana bayaran biasiswa akan dibuat?
Sesetengah penaja memasukkan terus kesemua bayaran biasiswa ke dalam akaun pelajar tajaan. Kemudian, terpulang kepada kebijaksanaan pelajar untuk mengagihkan biasiswa yang diterima untuk membayar yuran dan sara hidup. Ada juga penaja yang membayar melalui pihak universiti. Pihak universiti akan terus memotong untuk yuran pengajian dan selebihnya akan diberikan kepada pelajar untuk sara hidup. Pada pendapat saya, cara yang terbaik adalah dengan membayar kepada kedua-duanya; pihak penaja membayar kepada universiti jumlah yuran pengajian yang diminta dan selebihnya pihak penaja masukkan ke dalam akaun pelajar. Cara ini adalah lebih telus.

4. Apakah syarat-syarat minimum untuk mengekalkan tajaan biasiswa?
Walaupun anda telahpun dianugerahkan tajaan biasiswa, namun anda masih terikat dengan syarat-syarat tertentu untuk mengekalkan tajaan yang diperoleh. Pelajar selalunya dikehendaki mengekalkan pencapaian CGPA minima seperti yang ditetapkan, menyertai aktiviti-aktiviti kokurikulum dan menghadiri program yang dijalankan pihak penaja jika ada. Amatlah penting untuk pemegang biasiswa mengetahui tentang syarat-syarat ini agar mereka tanpa sedar hilang kelayakan tajaan biasiswa. Amatlah malang kehilangan sesuatu yang berharga akibat kecuaian diri sendiri.

5. Bolehkah ditaja beberapa biasiswa?
Ini sebenarnya bergantung kepada budi bicara setiap penaja biasiswa yang terlibat. Namun, kebiasaannya, pelajar tidak boleh mendapat lebih dari satu biasiswa pada satu-satu masa. Pelajar mungkin boleh bertukar pihak penaja, tetapi tidak boleh memegang dua skim biasiswa serentak. Sebagai nasihat, usahlah tamak dalam mendapatkan biasiswa. Sekiranya ditangkap yang anda memegang lebih dari satu biasiswa serentak, anda mungkin akan kehilangan kesemuanya dan tidak mendapat apa-apa tajaan biasiswa lagi.

Itulah sahaja beberapa soalan yang boleh dijadikan panduan dalam memilih biasiswa yang sesuai untuk dimohon. Mendapatkan biasiswa adalah kejayaan, tetapi mendapatkan biasiswa yang terbaik adalah tuah.

Klik di sini untuk mendapatkan senarai 57 biasiswa yang terdapat di Malaysia
 Klik di sini untuk review Kit Biasiswa

Tips Biasiswa: Panduan Temuduga Biasiswa

Tips Biasiswa: Panduan Temuduga Biasiswa


Setelah menghantar permohonan biasiswa, perjuangan anda untuk mendapatkan biasiswa masih belum selesai. Selepas meneliti kesemua permohonan biasiswa yang diterima, pihak penaja akan menyenaraipendekkan calon-calon yang berpotensi untuk menghadiri sesi temuduga sebelum betul-betul dipilih sebagai calon tajaan. Para pemohon yang terpilih akan dihubungi dan perlulah bersedia pada bila-bila masa untuk menghadiri sesi temuduga tersebut. Kegagalan menghadiri sesi temuduga biasiswa akan menutup peluang anda untuk mendapat tajaan biasiswa yang dipohon. Beberapa tips yang berikut mungkin berguna untuk sesiapa yang akan menghadiri sesi temuduga biasiswa:

1. Buat kajian tentang aspek-aspek penting berkenaan kursus pengajian yang telah anda pilih. Kaji bagaimana perkembangan bidang kajian tersebut dan apa yang anda boleh ceburi selepas tamat pengajian dalam bidang tersebut nanti. Kebiasaanya, pihak penaja akan bertanyakan tentang sebab-sebab anda memilih sesuatu bidang pengajian.

2. Tulis sebab-sebab mengapa anda selayaknya menerima biasiswa yang dimohon. Senaraikan ciri-ciri dan sumbangan positif anda dan kaitkannya dengan bidang pengajian yang anda pilih. Cuba berlatih untuk menghuraikan setiap sebab yang diperoleh di depan rakan-rakan atau keluarga.

3. Ketahui dengan jelas objektif, misi dan visi hidup anda. Calo temuduga biasiswa perlu yakin dengan pegangan dan prinsip hidup sendiri. Panel penemuduga biasiswa biasanya inginkan bukti dedikasi dan kesungguhan anda terhadap bidang yang anda ceburi, dan bagaimana anda merancang masa depan dalam bidang tersebut.

4. Bersedia untuk ditanya soalan-soalan berkenaan kedudukan kewangan anda dan ahli keluarga. Panel penemuduga kadang-kadang ingin tahu samaada anda sememangnya memerlukan biasiswa yang dimohon ataupun tidak.

5. Sediakan dan susun dengan baik semua dokumen-dokumen yang anda akan bawa ke sesi temuduga biasiswa nanti. Pihak penaja mungkin akan memberitahu lebih awal apa yang perlu anda bawa ketika sesi temuduga biasiswa nanti. Tetapi, jika mereka tidak memberitahu apa-apa, sila bawa salinan resume, surat-surat sokongan dan dokumen-dokumen sokongan yang anda hantar kepada pihak penaja semasa memohon biasiswa sebelum ini.

6. Ulangkaji soalan-soalan asas dan yang kerap ditanya pada malam sebelum sesi temuduga. Anda boleh mendapatkan beberapa soalan yang biasa ditanya penemuduga bersama-sama pembelian Kit Biasiswa. Pastikan setiap jawapan yang anda sediakan menunjukkan kematangan, kebolehan diri anda dan bahawa anda layak menerima biasiswa tersebut.

7. Rancang dan sediakan pakaian yang sesuai untuk dipakai ketika sesi temuduga biasiswa nanti. Pakaian akan memberikan pengaruh yang baik terhadap anda. Jangan pakai sesuatu yang kelihatan terlalu bergaya ataupun selekeh, sebaliknya hendaklah memilih pakaian yang kelihatan formal. Untuk lelaki, pakailah kemeja, seluar slack dan tali leher. Manakala untuk wanita, pakailah pakaian formal pejabat.

Menghadiri sesi temuduga biasiswa bermakna sebelah tangan anda telah berjaya menggenggam biasiswa yang dimohon. Pastikan anda melakukan yang terbaik semasa sesi temuduga untuk memastikan kejayaan anda mendapatkan biasiswa itu. Amatlah rugi jika anda terlepas disebabkan hal-hal yang remeh yang anda terlepas pandang semasa sesi temuduga nanti.

Klik di sini untuk mendapatkan senarai 57 biasiswa yang terdapat di Malaysia
 Klik di sini untuk review Kit Biasiswa

Tips Biasiswa: Panduan Menulis Surat Sokongan

Tips Biasiswa: Panduan Menulis Surat Sokongan


Walaupun bukan satu keperluan, namun menghantar satu surat sokongan bersama-sama permohonan biasiswa anda memberi satu nilai tambah untuk menguatkan lagi permohonan anda. Surat sokongan adalah satu surat yang ditulis oleh seseorang yang mengenali anda dengan rapat, kebiasaannya adalah guru-guru ataupun pensyarah. Dalam memilih seseorang untuk menulis surat sokongan, pastikan yang orang tersebut telah pun biasa dan mempunyai pengalaman untuk menulis surat sebegitu kerana prosesnya akan lebih mudah dan hasil suratnya adalah lebih baik. Di samping menulis surat sokongan biasiswa. orang tersebut seharusnya berkeupayaan untuk membantu dan menasihati pelajar dalam memudahkan proses permohonan biasiswa.

Sebuah surat sokongan seharusnya mengandungi butiran-butiran yang berikut:

1. Tujuan surat ditulis
Menyatakan dengan jelas tentang tujuan surat ditulis, iaitu menyokong permohonan biasiswa si pemohon yang datang meminta dibuat surat sokongan. Tuliskan nama dan nombor kad pengenalan si pemohon.

2. Ringkasan pengajian yang dipilih
Penulis surat sokongan perlulah mengaitkan secara ringkas antara diri pemohon dan kursus pengajian yang dipilihnya. Jika pemohon sedang mengikuti pengajian tersebut, boleh dijelaskan tentang pencapaian, sumbangan, projek dan kajian yang sedang dijalankan oleh pemohon.

3. Kepimpinan dan aktiviti kokurikulum
Penulis surat sokongan juga boleh menulis berkaitan pengalaman dan aktiviti-aktiviti yang disertai oleh pemohon biasiswa, seperti khidmat komuniti, pengalaman kerja dan penyertaan seminar atau bengkel berkaitan.

4. Skil-skil tambahan
Skil-skil dan kebolehan tambahan yang dimiliki oleh pemohon biasiswa boleh juga dimuatkan dalam surat sokongan. Penulis surat boleh menjelaskan bagaimana skil-skil itu membantu pemohon biasiswa untuk memajukan dirinya.

5. Pandangan peribadi
Apa yang paling penting yang ingin dilihat oleh penaja biasiswa dalam surat sokongan adalah pandangan peribadi penulis surat terhadap pemohon biasiswa. Pandangan berkenaan dengan sikap, sumbangan dan kelebihan yang dimiliki pemohon perlulah dilakukan dengan sejujur-jujurnya dan tidak memuji secara berlebih-lebihan.

Dalam menyediakan surat sokongan, penulis-penulis surat sokongan bolehlah merujuk kepada tips-tips yang berikut sebagai panduan:

1. Maklumkan kepada pelajar
Para pelajar mungkin tidak menyedari tentang kepentingan sekeping surat sokongan untuk permohonan biasiswa mereka. Sebagai seorang yang prihatin dan berpengalaman menulis surat sokongan, para penulis boleh menjelaskan dan membimbing para pelajar tentang kepentingan surat tersebut. Bimbing juga para pelajar untuk menyediakan maklumat-maklumat penting supaya memudahkan penulisan surat nanti.

2. Fikir sebelum setuju
Usah segera bersetuju untuk menulis surat sokongan bagi pihak pemohon biasiswa. Pastikan anda adalah orang yang selayaknya, mengenali pemohon dengan baik dan mampu membantu pemohon mendapatkan surat sokongan biasiswa yang baik.

3. Jujur dalam penulisan
Jika tidak mengenali pemohon biasiswa dengan baik, jelaskan kepada pemohon yang anda bukan orang yang selayaknya menulis tentang diri mereka. Jika mereka tetap mahukan anda, anda boleh samaada menolak dengan tegas, menulis surat yang neutral atau memasukkan beberapa kelemahan pemohon biasiswa dengan disertakan beberapa contoh. Oleh itu, nasihat saya untuk pemohon biasiswa, jika seseorang menolak menulis surat untuk anda, carilah penulis yang lain.

4. Kebenaran bertulis
Sebaik-baiknya, penulis surat sokongan mendapatkan permohonan rasmi dan kebenaran bertulis daripada pihak pentadbir dan pemohon biasiswa sebelum menulis surat sokongan. Ini untuk melindungi penulis surat sokongan daripada apa-apa kejadian yang tidak diingini yang mungkin berpunca daripada surat tersebut.

5. Fokus dan spesifik
Gunakan contoh-contoh yang spesifik untuk menyokong kenyataan-kenyataan dalam surat sokongan yang ditulis. Contoh-contoh yang spesifik akan menguatkan lagi surat sokongan tersebut dan pada masa yang sama melindungi penulis daripada sebarang tindakan undang-undang. Jika memilih untuk memasukkan kenyataan-kenyataan yang kabur dalam surat sokongan, sebaik-baiknya disokong dengan contoh dan bukti yang jelas.

6. Surat yang tersusun
Surat sokongan yang baik seharusnya kemas dan berstruktur. Mulakan surat dengan menyatakan butiran pemohon biasiswa, apa yang pemohon mohon dan tujuan surat ditulis. Nyatakan dengan jelas tentang berapa lam dan sejauh mana anda mengenali pemohon tersebut. Buat ulasan berkenaan pencapaian dan pengalaman anda bersama-sama pemohon. Kemudian, berikan beberapa contoh yang spesifik untuk menggambarkan peribadi pemohon biasiswa dari segi pemikiran intelektual, kebolehan berdikari, pandangan, sikap dan motivasi. Akhiri surat dengan menegaskan pandangan peribadi anda terhadap kelebihan dan kekurangan diri pemohon.

Klik di sini untuk mendapatkan senarai 57 biasiswa yang terdapat di Malaysia
 Klik di sini untuk review Kit Biasiswa

Tips Biasiswa: Panduan Menyediakan Dokumen-dokumen Sokongan

Tips Biasiswa: Panduan Menyediakan Dokumen-dokumen Sokongan


Untuk setiap permohonan biasiswa, beberapa dokumen sokongan hendaklah dilampirkan sebagai bukti pengesahan yang segala maklumat yang anda catitkan dalam permohonan adalah betul. Beberapa salianan dokumen yang perlu dilampirkan sebaga dokumen sokongan adalah:

1. Kad pengenalan
2. Transkrip keputusan peperiksaan
3. Sijil tamat pengajian matrikulasi
4. Surat tawaran universiti (jika ada)
5. Sijil peperiksaan SPM
5. Sijil penghargaan atau pencapaian
6. Sijil aktiviti kokurikulum

Beberapa panduan yang anda boleh ikuti dalam menyediakan dokumen-dokumen sokongan di atas adalah:

1. Bersedia awal
Sebaik-baiknya, anda mencari dan membuat beberapa salinan untuk dokumen-dokumen yang diperlukan dengan lebih awal lagi, seelok-eloknya sebelum iklan tawaran disiarkan. Biasanya, pihak penaja hanya membuka tawaran untuk tempoh yang singkat. Persediaan awal memastikan anda tidak kelam-kabut sehingga tercicir dokumen penting selepas tawaran iklan dibuka nanti.

2. Salinan yang baik
Pastikan anda membuat salinan yang baik untuk setiap dokumen yang diperlukan. Salinan yang baik adalah jelas, kemas dan tidak comot. Salinan yang kabur dan comot dengan tompokan-tompokan hitam akan menyukarkan penilai untuk meneliti dokumen-dokumen anda.

3. Disahkan betul
Setiap salinan dokumen yang akan dihantar perlulah disahkan oleh orang-orang yang berkelayakan, contohnya pegawai kerajaan gred A, pengetua-pengetua, guru-guru besar dan penghulu kampung. Salinan dokumen yang disahkan perlulah mengandungi perkataan "Salinan ini disahkan betul dengan salinan asal", tandatangan, cop nama dan jawatan pengesah.

4. Disusun teratur
Semasa melampirkan salinan dokumen-dokumen sokongan bersama-sama dokumen permohonan biasiswa, pastikan anda menyusun dokumen-dokumen itu dengan baik. Sebaik-baiknya, susun mengikut susunan maklumat yang anda tulis dalam resume anda. Ini akan memudahkan pihak penilai untuk memeriksa permohonan biasiswa anda.

Itulah sahaja panduan dalam penyediaan dokumen-dokumen sokongan. Semoga bermanfaat untuk anda.

Klik di sini untuk mendapatkan senarai 57 biasiswa yang terdapat di Malaysia
 Klik di sini untuk review Kit Biasiswa

Tips Biasiswa: Panduan Menghasilkan Resume

Tips Biasiswa: Panduan Menghasilkan Resume


Seperti yang dinyatakan dalam entri sebelum ini, sesetengah penaja mengkehendaki para pemohon supaya menghantar sendiri permohonan mereka kerana pihak penaja tidak mengeluarkan sebarang borang permohonan. Selain daripada surat rasmi permohonan biasiswa, satu lagi dokumen penting yang perlu dihantar adalah resume. Resume boleh didefinasikan sebagai satu dokumen yang mengandungi maklumat lengkap dan ringkas berkenaan seseorang individu dari segi pencapaian akademik, kokurikulum dan pengalaman kerja. Kebiasaannya, resume adalah dokumen pertama yang diteliti oleh panel penilai penaja sebelum memilih calon yang layak untuk ditemuduga.

Ramai yang sering bertanya, apa format terbaik yang harus diguna untuk menghasilkan sebuah resume yang baik? Jika anda mencari melalui kata carian di Internet, and dapat melihat banyak contoh resume yang tersedia. Terlalu banyak sehingga boleh membuatkan anda keliru mana satu yang boleh diguna. Namun, kebanyakan resume yang ada adalah untuk permohonan pekerjaan, bukannya permohonan biasiswa. Tetapi, ini bukanlah bermakna anda tidak boleh menjadikan resume-resume tersebut sebagai panduan, malah resume untyk memohon biasiswa adalah lebih kurang sama dengan resume memohon kerja. sebenarnya, dalam menyediakan resume, format jatuh kepada perkara nombor dua, perkara utama yang paling penting adalah kandungan resume tersebut. Sebuah resume yang baik seharusnya mengandungi seperti yang berikut:

1. Gambar bersaiz pasport
Gambar anda yang terkini bersaiz passport perlulah diletak dibahagian pertama resume. Pastikan gambar menunjukkan diri anda yang kemas dengan senyuman yang menarik (jangan berlebih-lebihan). Pastikan rambut tersisir rapi. Dari segi pakaian, pastikan pakaian yang formal. Elakkan memakai t-shirt ata pakaian biasa. Sebaik-baiknya, pakailah kot atau blazer. Untuk lelaki, memakai tali leher adalah digalakkan. Untuk wanita bertudung, pemilihan warna tudung perlulah kontras dengan latarbelakang gambar yang biasanya berwarna biru atau putih.

2. Objektif, misi dan visi pengajian
Anda perlu menyatakan secara ringkas dalam satu ayat berkenaan objektif, misi dan visi anda berkaitan kursus pengajian yang anda minati. Maklumat ini tidaklah penting, tetapi menggambarkan motivasi dan minat anda untuk berjaya.

3. Maklumat peribadi
Nama, nombor kad pengenalan, umur, jantina, taraf kewarganegaraan, bangsa, alamat tetap, alamat surat menyurat (jika berbeza dengan alamat tetap), nombor telefon dan alamat emel adalah maklumat-maklumat peribadi penting yang perlu dinyatakan dalam resume.

4. Latarbelakang pendidikan
Masukkan latarbelakang pendidikan anda dengan meletakkan yang terakhir pada kedudukan yang teratas. Sebagai contoh, diploma, kolej matrikulasi, STPM, SPM, PMR dan di bawah sekali adalah UPSR. Masukkan nama setiap institusi yang terlibat, kursus pengajian (jika ada), tahun mula, tahun akhir dan pencapaian peperiksaan utama.

5. Pencapaian atau penerimaan anugerah
Di ruangan ini, masukkan semua anugerah yang anda terima daripada segi akademik, kokurikulum dan pertandingan. Contohnya, anugerah pelajar cemerlang, senarai dekan ataupun johan pertandingan debat antarabangsa. Susunan pencapaian hendaklah disusun dari yang terakhir hinggalah yang terawal berada di bawah sekali.

6. Aktiviti kokurikulum
Susun dan masukkan maklumat aktiviti kokurikulum yang anda sertai. Jangan lupa untuk memasukkan peringkat keterlibatan dan jawatan yang dipegang.

7. Skil bahasa
Masukkan bahasa-bahasa yang anda kuasai. Beri markah dari segi kefasihan menulis, membaca dan bertutur. Letakkan bahasa yang paling anda mahir di kedudukan paling atas. Mengetahui lebih banyak bahasa memberi nilai tambah untuk anda.

8. Skil-skil tambahan
Skil-skil lain yang anda mahir seperti skil komputer bolehlah diletakkan di ruangan ini. Berikan juga markah dari segi kefasihan anda menggunakan skil-skil tersebut.

9. Kursus/seminar/bengkel
Sebarang kursus, seminar atau bengkel yang pernah dihadiri boleh juga dimasukkan dalam resume anda. Sebaik-baiknya, seminar tersebut hendaklah bersesuaian dan releven dengan kursus pengajian yang anda mohon atau sedang jalani.

10. Rujukan
Dalam ruangan terakhir, masukkan maklumat berkenaan seseorang yang boleh dihubungi jika pihak penaja ingin mendapatkan maklumat latarbelakang anda. Pihak penaja mungkin akan menghubungi untuk mendapatkan pengesahan berkenaan maklumat yang diberikan dalam resume biasiswa anda. Sebaik-baiknya, orang yang dijadikan rujukan adalah seseorang yang mengenali anda dengan baik; guru atau pensyarah adalah pilihan yang terbaik. Maklumkan mereka yang anda menjadikan mereka sebagai tempat untuk dirujuk, dibimbangi mereka akan terpinga-pinga jika dihubungi pihak penaja nanti.

Selain mengandungi maklumat-maklumat seperti yang di atas, resume biasiswa yang baik juga hendaklah:

1. Kemas dan teratur
2. Bertulisan formal
3. Berformat formal dan seragam
4. Mengandungi maklumat yang sah dan betul

Semoga panduan dan tips resume biasiswa ini bermanfaat untuk anda.

Klik di sini untuk mendapatkan senarai 57 biasiswa yang terdapat di Malaysia
 Klik di sini untuk review Kit Biasiswa

Tips Biasiswa: Panduan dan Contoh Surat Permohonan Biasiswa

Tips Biasiswa: Panduan dan Contoh Surat Permohonan Biasiswa


Sesetengah penaja biasiswa tidak mengeluarkan borang permohonan bersama-sama dengan iklan tawaran biasiswa. Sebaliknya, mereka akan meminta para pelajar yang berminat memohon supaya menyediakan dan menghantar permohonan biasiswa sendiri. Ini adalah sebagai satu ujian awal untuk meneliti kredibiliti dan profesionalisma seseorang pemohon. Jika anda ada menjumpai mana-mana penaja yang melakukan sebegini, harus diingat yang anda perlu menghantar tiga perkara penting iaitu:
1. Surat permohonan biasiswa
2. Resume
3. Dokumen-dokumen sokongan - salinan kad pengenalan, sijil-sijil dan surat tawaran ke universiti (jika ada)

Untuk entri kali ini, saya akan lebih menekankan berkenaan surat permohonan biasiswa. Dalam menyediakan surat ini, beberapa elemen penting harus diberi perhatian:

1. Format dan gaya bahasa formal
Surat haruslah ditulis menggunakan format dan gaya bahasa formal untuk menunjukkan kredibiliti anda. Gaya bahasa yang baik dapat menarik perhatian para penilai. Jika anda tidak mahir menulis surat formal, dapatkan bantuan daripada mereka yang pakar seperti guru-guru, atau rujuk kepada contoh-contoh surat formal dalam buku atau Internet.

2. Penulisan yang ringkas
Penulisan yang ringkas dan tidak meleret-leret adalah asas penting dalam penulisan surat formal. Tambahan lagi, ini akan membuatkan para penilai yang membaca surat anda untuk lebih fokus kepada maklumat-maklumat yang ingin anda sampaikan.

3. Alamat yang sah
Dalam surat permohonan, anda perlulah meletakkan alamat anda yang sah, sebaik-baiknya alamat tetap atau alamat surat-menyurat. Pihak penaja biasanya akan membalas permohonan anda melalui surat. Oleh itu, alamat yang sah akan memudahkan anda untuk menerima sebarang surat balas yang dihantar oleh pihak penaja.

4. Penggunaan 'bold'
Beberapa maklumat penting yang anda nyatakan dalam surat anda seperti nama, nombor kad pengenalan, keputusan peperiksaan dan kursus pengajian bolehlah ditebalkan (bold) untuk memudahkan pihak penilai mendapatkan maklumat-maklumat tersebut. Namun, penggunaannya janganlah sampai berlebih-lebihan kerana akan merosakkan formaliti surat anda.

5. Sebab memohon
Dalam surat anda, anda boleh menyatakan sebab utama anda memohon biasiswa daripada penaja tersebut. Kaitkannya dengan kursus pengajian yang anda akan atau sedang jalani. Harapan dan impian anda juga boleh ditulis untuk menguatkan lagi sebab anda memilih penaja tersebut. Tetapi, sekali lagi diingatkan, jangan berlebih-lebihan.

6. Kemas dan teratur
Pastikan surat ditulis dengan kemas dan teratur. Penggunaan huruf besar, huruf kecil dan tanda-tanda bacaan perlulah betul dan kena pada tempatnya. Pemilihan jenis tulisan yang seragam turut memainkan peranan penting. Sebaik-baiknya, gunakan tulisan yang formal seperti Arial, Calibri dan Times New Roman. Penggunaan perenggan, penomboran dan bulet juga harus diperhatikan.

Berikut adalah salah satu contoh surat permohonan biasiswa yang baik:

[Nama anda]
[Nombor kad pengenalan]
[Alamat anda]

[Tarikh]

[Alamat penaja]

Tuan,

PERMOHONAN BIASISWA ABC UNTUK TAHUN 2013

Merujuk kepada tawaran biasiswa yang dikeluarkan oleh pihak Tuan, saya dengan ini menghantar permohonan saya untuk dipertimbangkan oleh pihak Tuan.

2. Untuk makluman pihak Tuan, saya baharu sahaja menamatkan pengajian dalam bidang Sains Hayat di Kolej Matrikulasi DEF dengan keputusan CGPA 3.67. Saya mempunyai minat yang mendalam untuk menyambung pelajaran dalam bidang farmasi dan telah memohon untuk mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Farmasi (Kepujian) di Universiti XYZ bagi sesi pengambilan tahun 2013.

3. Bersama-sama surat ini, saya lampirkan resume, salinan sijil keputusan peperiksaan dan sijil-sijil aktiviti kokurikulum untuk perhatian pihak Tuan. Resume yang dilampirkan menyatakan dengan jelas butiran pencapaian akademik dan penglibatan aktif saya dalam bidang kokurikulum di peringkat sekolah dan kolej matrikulasi. Aktiviti yang dijalani mencerminkan ketinggian motivasi, kebolehan dan keupayaan saya memenuhi hasrat dan aspirasi organisasi Tuan.

4. Saya yakin dan percaya bahawa Biasiswa ABC merupakan batu loncatan terbaik untuk membolehkan saya meneroka potensi sebenar diri saya dalam mencapai cita-cita menjadi seorang ahli farmasi yang berjaya.

5. Terima kasih untuk perhatian yang diberi dan masa yang diluangkan. Pihak Tuan boleh menghubungi saya dan memanggil saya untuk sesi temuduga pada bila-bila masa yang ditetapkan.

6. Semoga permohonan ini mendapat pertimbangan sewajarnya daripada pihak Tuan. Segala kerjasama didahului dengan ucapan terima kasih.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

[Tandatangan]
[Nama anda dalam huruf besar]
[Nombor kad pengenalan]

Untuk lebih banyak contoh surat permohonan biasiswa, dan contoh surat rayuan jika permohonan asal anda ditolak, anda boleh dapatkan secara percuma dengan pembelian Kit Biasiswa.

Klik di sini untuk mendapatkan senarai 57 biasiswa yang terdapat di Malaysia
 Klik di sini untuk review Kit Biasiswa

Tips Biasiswa: Tips Memohon Biasiswa 2

Tips Biasiswa: Tips Memohon Biasiswa 2


Untuk entri kali ini, saya ingin menambah beberapa lagi panduan dan tips yang perlu diberi perhatian semasa memohon biasiswa:

1. Bertenang dan tidak gopoh-gapah
Jika anda ada menjumpai mana-mana iklan tawaran tajaan biasiswa, usahlah terlalu teruja sehingga mengabaikan beberapa perkara penting yang perlu dilakukan. Sebaik-baiknya, anda cuba bertenang, kenalpasti kelayakan minimum yang dinyatakan, baca syarat-syarat yang diperlukan dengan teliti dan rancang apa yang perlu dilakukan. Kebiasaannya, penaja akan menyatakan maklumat yang sejelas-jelasnya berkenaan tawaran biasiswa dalam iklan mereka. Namun, seandainya anda mempunyai apa-apa persoalan, bolehlah melayari laman web penaja tersebut dan lebih baik lagi anda menghubungi terus penaja melalui emel atau telefon untuk bertanya soalan. Pihak penaja sememangnya sentiasa bersedia untuk menerima sebarang pertanyaan anda, tetapi jarang yang mengambil peluang ini menyebabkan berlakunya kesilapan semasa menghantar permohonan.

2. Baca dan fahami iklan tawaran sebaik-baiknya
Dek kerana pertambahan bilangan pelajar pada masa sekarang amatlah tinggi berbanding bilangan tajaan biasiswa yang ditawarkan, persaingan menjadi sangat sengit untuk merebut kuota biasiswa yang ada. Oleh itu, berdasarkan kepada iklan tawaran yang dikeluarkan oleh pihak penaja, anda dinasihatkan supaya mengutamakan terlebih dahulu biasiswa-biasiswa yang mana anda rasakan anda dapat memenuhi kelayakan atau syarat-syarat minimum mereka. Ini untuk mengekalkan fokus anda dan mengelakkan anda membuang masa dan tenaga yang terlampau banyak untuk sesuatu yang sukar diperoleh. Setelah menghantar kepada biasiswa-biasiswa yang dirasakan sesuai, jika masih ingin mencuba, tidak salah untuk menghantar permohonan kepada biasiswa-biasiswa yang sukar tersebut.

3. Pilih pengajian yang sesuai
Sesetengah penaja, terutama syarikat-syarikat swasta, hanya berminat untuk menaja kursus-kursus tertentu sahaja, yang mana berkait rapat dengan bidang perniagaan mereka. Jika anda telahpun memulakan pengajian, ataupun telah ditawarkan untuk mengikuti kursus tertentu, pastikan kursus tersebut adalah bersesuaian dengan biasiswa yang ingin dimohon. Jika anda masih di peringkat memohon universiti dan kursus pengajian, pilihlah dahulu kursus yang anda minati dan kemudian pilihlah penaja-penaja yang sesuai untuk dihantar borang permohonan. Pastikan semasa mengisi borang permohonan biasiswa, anda menyatakan dengan jelas kursus yang anda ingin ikuti, sama seperti yang diisi dalam borang permohonan universiti. Sekiranya anda berjaya mendapat kursus yang dimohon, peluang anda untuk mendapat tajaan adalah cerah. Namun, jika sebaliknya, anda mungkin perlu mencari penaja lain pula.

4. Periksa latarbelakang penaja
Sebaik-baiknya, anda memeriksa dan mendapatkan serba-sedikit latarbelakang syarikat atau organisasi penaja. Ini bukan sahaja akan membantu anda memilih penaja yang terbaik, malahan membantu anda ketika sesi temuduga nanti. Tanya pada diri anda, adakah penaja ini yang paling sesuai untuk anda? Harus diingat, apabila anda terpilih untuk ditaja, anda mungkin perlu mengikat kontrak dan bekerja dengan penaja untuk tempoh masa tertentu selepas tamat pengajian. Jika dalam tempoh kontrak anda berasa tidak serasi untuk berkhidmat dengan penaja, anda mungkin akan melanggar terma kontrak yang mana anda mungkin akan didakwa dan perlu membayar wang tebus kontrak.

5. Teliti apa yang ditawarkan
Sesetengah penaja hanya membayar yuran pengajian. Sesetengah yang lain membayar yuran pengajian dan memberi bantuan sara hidup. Ada penaja yang langsung tidak mempedulikan perkembangan pelajar-pelajar tajaannya. Ada yang prihatin, dan mereka akan mengadakan kursus, seminar dan bengkel untuk membantu para pelajar tajaan mereka untuk membangunkan diri mereka. Jika anda ditawarkan dengan beberapa biasiswa, tawaran-tawaran sebegini mungkin anda perlu perhatikan sebelum memilih yang terbaik untuk anda.

6. Memahami kontrak tajaan
Apabila anda bersetuju untuk menerima tajaan biasiswa, anda akan dikehendaki untuk menandatangani kontrak tajaan. Usah pandang remeh akan perkara ini. Sila baca dan fahami terma-terma kontrak yang dinyatakan. Selain syarat berkhidmat selepas tamat pengajian, penaja mungkin menetapkan syarat pencapaian CGPA tertentu setiap semester untuk melayakkan anda diteruskan tajaan. Ada juga yang menetapkan syarat-syarat lain seperti tidak boleh kahwin, tidak boleh menukar kursus pengajian, tidak boleh menangguhkan pengajian dan tidak boleh menyertai aktiviti politik. Tidak memahami terma kontrak dengan jelas meletakkan anda pada risiko untuk melanggar terma-terma tersebut yang mana boleh mengakibatkan pembatalan tajaan.

7. Mengetahui tempoh tajaan
Kebiasaannya, penaja hanya menaja untuk tempoh pengajian asal sahaja. Namun, Walau ini bukan perkara yang diingini, kemungkinan terjadi pelajar tajaan mengalami kegagalan atau masalah  yang menyebabkan tempoh pengajian perlu ditambah dan dilanjutkan. Pihak penaja mungkin akan mempertimbangkan samaada untuk meneruskan penajaan ataupun tidak, berdasarkan sebab berlakunya pelanjutan tersebut. Jika tidak, pelajar mungkin perlu menampung sendiri semua perbelanjaan semasa tempoh itu. Jadi, harus berhati-hati dengan perkara ini.

Itulah serba-sedikit panduan dan tips berkaitan permohonan biasiswa. Semoga bermanfaat untuk semua pembaca.

Klik di sini untuk mendapatkan senarai 57 biasiswa yang terdapat di Malaysia
 Klik di sini untuk review Kit Biasiswa

Tips Biasiswa: Tips Memohon Biasiswa

Tips Biasiswa: Tips Memohon Biasiswa


Berikut adalah beberapa panduan dan tips utama yang perlu anda tahu sebagai persediaan memohon biasiswa:

1. Mengambil tahu bila tawaran biasiswa dibuka dan ditutup. Sesetengah tawaran dibuka untuk tempoh yang singkat sahaja, jadi amatlah penting untuk pemohon 'alert' tentang tawaran tersebut. Sebaik-baiknya, gunakan kalendar dan rancang agar anda dapat menghantar permohonan awal selepas tawaran dibuka dan tidak terlepas sehingga ke tarikh tutup. Kebiasaannya, permohonan yang dihantar selepas tarikh tawaran ditutup tidak akan dilayan oleh pihak penaja. Kelewatan sebegini meberi gambaran yang si pemohon tidak mempunyai perancangan yang tidak sistematik dan teratur.

2. Kumpulkan dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan oleh pihak penaja dengan lebih awal. Jangan lupa untuk mendapatkan pengesahan salinan untuk setiap salinan dokumen yang dibuat. Persediaan lebih awal dapat memberi lebih masa untuk pemohon menyempurnakan setiap dokumen yang diperlukan dan mengelakkan kelam-kabut yang mungkin menyebabkan ada dokumen tertinggal untuk diserahkan. Dokumen yang disediakan secara kelam-kabut dan tidak lengkap berkemungkinan besar akan menyebabkan permohonan ditolak serta-merta.

3. Usah meminggirkan pencapaian-pencapaian kecil yang anda peroleh. Mungkin anda ada terlibat dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum, dilantik memegang beberapa jawatan dalam persatuan dan kelab, menang dalam mana-mana pertandingan ataupun mendapat penghargaan atas sumbangan anda, walaupun kecil, tapi jangan lupa untuk dimasukkan ke dalam permohanan anda. Sertakan bukti seperti sijil penghargaan atau surat lantikan. Mana tahu, pencapaian-pencapaian kecil ini mungkin akan membuatkan penaja kagum dan memilih anda sebagai calon berpotensi untuk ditaja.

4. Sediakan resume anda dengan sebaik-baiknya. Dapatkan panduan dan tips membuat resume yang terbaik. Jika ada mana-mana senior atau rakan anda yang ditaja oleh mana-mana penaja biasiswa, jangan lupa untuk meminta salinan resume mereka untuk dijadikan panduan. Pastikan yang resume anda kemas, mengandungi maklumat yang betul dan sentiasa dikemas kini jika ada sebarang tambahan maklumat dan pencapaian. Resume adalah cara terbaik untuk mengekspresikan buah fikiran anda serta menunjukkan pencapaian dan keterlibatan anda dalam akademik dan aktiviti-aktiviti kokurikulum.

5. Fikir dengan teliti berkenaan siapa yang sebaik-baiknya menulis surat sokongan untuk anda. Sebaik-baiknya, pilih seseorang yang profesional dan dekat dengan anda, sesorang yang mengetahui dengan jelas tentang kelebihan anda dan kebolehan anda mengatasi masalah dan cabaran. Jika anda seorang pelajar lepasan SPM, pilihlah pengetua anda. Jika anda pelajar lepasan kolej matrikulasi ataupun pelajar yang sedang mengikuti pengajian, pensyarah anda adalah calon terbaik untuk menulis surat sokongan.

6. Mungkin ada penaja yang menghendaki para pemohon untuk menulis sebuah esei berkenaan sesuatu topik untuk dihantar bersama-sama permohonan. Jika ini diminta, esei yang anda tulis hendaklah menunjukkan personaliti anda yang berkarisma. Luahkan idea-idea anda dengan cara yang menarik, bijaksana dan bermakna. Tulis esei anda secara 'natural', tidak terlalu berlebih-lebihan dan disertakan dengan contoh-contoh yang spesifik.

7. Jangan lupa untuk semak dan baca semula sebarang surat permohonan, esei ataupun dokumen-dokumen penting sebelum menghantar kepada penaja. Minta tolong daripada ibubapa, rakan, guru atau pensyarah untuk memberi pandangan dan cadangan untuk menambah baik semua dokumen yan akan dihantar. Kesilapan atau skil penulisan yang lemah akan memberi kesan yang negatif kepada permohonan anda. Sebab itulah semakan perlu dilakukan untuk mengelakkan kesan sebegini.

8. Simpan satu salinan permohonan anda. Selepas beberapa hari menghantar permohonan, sila hubungi penaja untuk memeriksa samaada semua dokumen permohonan telah diterima atau tidak. Jika tidak diterima, bolehlah untuk bersiap sedia untuk menghantar salinan yang ada. Mungkin permohonan asal anda hilang ketika proses penghantaran. Tetapi, maklumkan dulu kepada penaja yang anda akan menghantar salinan sekali lagi, agar pihak penaja tidak keliru jika terdapat dua permohanan yang sama dari anda.

9. Jika anda dimaklumkan yang anda telah terpilih untuk ditaja oleh mana-mana penaja, sebaik-baiknya anda menghantar nota terima kasih sebagai tanda penghargaan. Jika anda dipanggil untuk temuduga, carilah panduan dan tips sebagai persiapan untuk menghadiri sesi temuduga biasiswa tersebut.

Klik di sini untuk mendapatkan senarai 57 biasiswa yang terdapat di Malaysia
 Klik di sini untuk review Kit Biasiswa

Tips Hebat Mendapatkan Biasiswa

Tips Hebat Mendapatkan Biasiswa

Menyediakan permohonan yang menarik perhatian pihak penaja merupakan satu proses yang sukar. Untuk entri kali ini, saya akan memberikan beberapa tips penting untuk membuat permohonan biasiswa yang sempurna. Tips-tips yang diberikan akan membantu anda untuk menghasilkan permohonan yang baik, menarik perhatian pihak penaja, memastikan anda tidak melepasi tarikh tamat memohon dan lain-lain lagi.

1. Selidiki kemahuan pihak penaja
Orang yang memenangi biasiswa adalah orang yang berjaya memenuhi apa yang dikehendaki oleh pihak penaja. Oleh itu, jika ingin mendapatkan biasiswa, pastikan anda memenuhi hasrat dan kemahuan penaja. walau kelihatan mudah, namun kebanyakan pelajar hanya memenuhi kehendak asas yang diperlukan penaja dan kemudian berharap menjadi pilihan. Jangan hanya melakukan sedemikian. Baca keseluruhan maklumat berkenaan organisasi penaja dan skim biasiswa yang ditawarkan untuk mencari kehendak sebenar yang dicari oleh penaja. Dengan memenuhi kehendak yang diingini penaja akan meningkatkan peluang anda mendapat biasiswa.

2. Sertai aktiviti kokurikulum
Kebanyakan penaja tidak secara mudah memilih pelajar yang layak berdasarkan kepada keputusan peperikasaan mereka. Sebaliknya, pihak penaja akan turut melihat kepada pencapaian-pencapaian lain terutamanya dalam bidang kepimpinan dan aktiviti-aktiviti kokurikum. Adakah pelajar ini aktif menyumbang kepada komuniti? Adakah pelajar menyertai dan memenangi sebarang pertandingan? Apakah minat dan kecenderungan pelajar? Pihak penaja biasanya berminat memberi tajaan kelajar yang cemerlang secara keseluruhannya, bukan sekadar dalam bidang akademik. Keputusan peperiksaan adalah penting, tetapi itu hanya memeperlihatkan sebahagian sahaja kejayaan seseorang. Oleh itu, mulakan dari sekarang. Cari kelab atau persatuan yang sesuai untuk anda sertai. Cari aktiviti-aktiviti kokurikulum yang anda minati.

3. Berhati-hati dengan tarikh tutup tawaran
Anda mungkin tidak menyedari yang anda telah terlepas memohon biasiswa-biasiswa yang menarik hanya kerana anda tidak sedar tentang tarikh tutup tawaran. Apabila pelajar memohon banyak kepada banyak penaja biasiswa pada satu-satu masa, mereka cenderung untuk keliru dengan tarikh tutup tawaran setiap biasiswa yang berbeza-beza. Untuk mengelakkan situasi sebegini, sebaik-baiknya tulis atas kalendar atau 'planner'. Tuliskan nama skim biasiswa pada setiap tarikh tutup masing-masing dengan pen merah, dan pen hitam pada tarikh seminggu sebelum tarikh tutup. Kemudian, cubalah untuk menghantar permohonan sebelum tarikh yang bertanda hitam (seminggu lebih awal dari tarikh tutup).

4. Semak permohonan beberapa kali
Bagaimana untuk meningkatkan peluang anda mendapat biasiswa dengan mudah? Jawapannya, dengan menyemak semula permohonan anda beberapa kali sebelum dihantar. Kebanyakan pihak penaja langsung tidak mempedulikan permohonan yang tidak lengkap, atau dibuat secara sambil lewa. Pastikan semua maklumat yang diberi adalah betul dengan ejaan yang betul. Kemudian, semak semua dokumen-dokumen sokongan sekali lagi. Jika ada menulis surat permohonan atau sebarang esei, semak dengan membaca kuat. Cuba kesan sebarang kesalahan ejaan atau tatabahasa. Dengan memperuntukkan sedikit masa menyemak kesemuanya boleh meningkatkan peluang anda mendapat biasiswa.

5. Cari dan mohon lagi
Jangan berpuas hati dengan menghantar permohonan kepada beberapa penaja sahaja. Cari dan mohon lagi kepada penaja-penaja yang lain. Proses mendapatkan biasiswa sememangnya sukar, dan memerlukan usaha yang gigih. Dengan menghantar permohonan biasiswa kepada banyak penaja, bukan sahaja akan meningkatkan peluang mendapatkan biasiswa, malah anda akan mendapat persaingan yang kurang jika memohon kepada biasiswa-biasiswa 'low profile'.

6. Uruskan masa dan persekitaran
Pengurusan masa yang baik adalah ciri penting yang perlu ada pada seorang pelajar. Ini akan membantu masa pembelajaran anda, dan juga permohonan biasiswa anda. Apabila semuanya diurus dengan baik, anda dapat memberi sepenuh perhatian kepada permohonan biasiswa anda. Sebaliknya, jika dalam keadaan tidak terurus, anda akan hilang fokus, mudah terganggu dan kehilangan dokumen-dokumen penting. Dengan pengurusan masa yang baik juga, anda boleh mengelakkan terlepas tarikh tutup tawaran. Jika masa diurus dengan tidak baik, anda mungkin telah menyedari bahawa anda telahpun terlepas tarikh tutup dan tidak sempat menghantar permohonan biasiswa. Kesimpulannya, uruskan masa dan persekitaran anda dengan baik.

7. Sediakan resume biasiswa terbaik
Bersama-sama norang permohonan ataupun surat permohonan biasiswa, sebaik-baiknya disertakan juga dengan resume. Dalam resume ini, masukkan semua maklumat penting seperti pencapaian, kepimpinan, penglibatan aktiviti kemasyarakatan dan pengalaman kerja jika ada. Pastikan resume ditulis dengan maklumat yang betul dan mengandungi maklumat-maklumat yang betul sahaja. Harus diingat, anda perlu menghantar salinan bukti untuk setiap maklumat yang ditulis dalam resume.

8. Tulis esei terbaik
Untuk menguji kebolehan pemohon, pihak penaja mungkin akan memberi satu tajuk khas dan meminta pemohon yang berminat untuk menulis esei berkaitan tajuk tersebut. Sebaik-baiknya, jangan hanya menulis fakta abstrak. Berikan fakta dan contoh-contoh yang berkaitan. Misalnya, berbanding menulis esei abstrak berkenaan penglibatan aktiviti kemasyarakatan di universiti, sebaik-baiknya tulis berkenaan pengalaman anda semasa melibatkan diri dalam mana-mana aktiviti seumpama atau berkaitan. Ini adalah cara terbaik untuk menonjolkan kelebihan anda. Pihak penaja biasiswa mahu mendengar tentang pengalaman anda, bukan semata-mata fakta abstrak.

9. Senarai semak kelayakan
Semak berulang-ulang kali tentang syarat-syarat kelayakan minima yang diletakkan oleh pihak penaja biasiswa. Pastikan anda betul-betul layak untuk memohon biasiswa yang ditawarkan. Semak dari segi syarat CGPA, umur, kursus pengajian ataupun penglibatan kokurikulum. Ini akan menjimatkan masa anda jika anda mendapati bahawa anda tidak layak. Daripada menumpukan kepada biasiswa itu, lebih baik anda mencari dan memohon kepada biasiswa yang lain.

Jika anda menjadikan langkah-langkah di atas sebagai panduan dalam memohon biasiswa, anda akan lebih mudah untuk membuat permohonan biasiswa dan lebih tahu berkenaan penilaian yang akan dilakukan oleh panel penaja biasiswa. Hasilnya, jika anda melakukan yang terbaik, peluang untuk mendapatkan biasiswa adalah lebih cerah.

Klik di sini untuk mendapatkan senarai 57 biasiswa yang terdapat di Malaysia
 Klik di sini untuk review Kit Biasiswa

Tips Cara Terbaik Memohon Biasiswa

Cara Terbaik Memohon Biasiswa


Banyak cara yang boleh dilakukan untuk membiayai pengajian di peringkat tinggi. Ada yang memohon biasiswa, pinjaman pelajaran, bantuan persendirian individu-individu tertentu, bekerja sendiri ataupun bagi yang berkemampuan, dibiayai sepenuhnya oleh ibubapa. Namun, tanpa syak lagi, tajaan biasiswa adalah yang paling terbaik. Pelajar yang ditaja tidak perlu lagi memikirkan tentang masalah kewangan kerana semuanya dibiayai oleh penaja; yuran pengajian dan bantuan sara hidup. Tambahan lagi, semuanya adalah percuma. Pelajar tidak perlu bimbang perlu membayar semula selepas tamat belajar, dengan syarat mematuhi semua terma kontrak tajaan.

Tetapi, boleh dikatakan bahawa mencari dan mendapatkan biasiswa adalah sesuatu yang memerlukan usaha sepenuhnya, semuanya bergantung kepada masa, kesedaran tentang tawaran yang ada dan persediaan yang betul. Untuk memastikan biasiswa berada dalam genggaman, seorang pelajar seharusnya dapat membezakan mana tawaran yang terbaik dan paling sesuai dengan kelayakan yang dimiliki. Dan yang lebih penting, pemohon mesti bersedia untuk memohon biasiswa dengan melakukan persediaan yang tepat.

Secara umumnya, apabila mengharap untuk mendapatkan biasiswa pelajaran, langkah-langkah yang berikut boleh dilakukan:

1. Mulakan proses pencarian lebih awal
Proses mencari penaja-penaja biasiswa yang sesuai hendaklah bermula dari awal lagi. Jika anda masih bersekolah, mulakan sebelum tamat persekolah. Jika masih di kolej matrikulasi, mulakan sebelum tamat kolej. Jika baru saja memulakan pengajian di universiti, mulakan secepat mungkin sebelum semester seterusnya. Semakin lama ditunggu, semakin banyak peluang anda terlepas.

2. Kenali diri-sendiri
Kenali semua kelayakan, kekuatan, kelemahan, pencapaian akademik dan aktiviti-aktiviti kokurikulum yang kita ada. Ini akan membantu semasa proses pemilihan penaja biasiswa yang sesuai. Kita akan dapat menentukan kelayakan kita berdasarkan syarat-syarat yang dikeluarkan pihak penaja.

3. Cari maklumat biasiswa dengan pelbagai cara
Pelbagaikan cara dalam mencari tawaran biasiswa. Kebiasaannya, pihak penaja akan menyiarkan iklan dalam akhbar-akhbar utama negara dan di paparan website mereka. Gunakan sepenuhnya enjin carian, Facebook, Twitter dan forum-forum di internet. Banyakkan bergaul dengan rakan-rakan yang lain supaya tidak ketinggalan dengan tawaran yang disiarkan. Semakin luas pencarian, semakin tinggi mendapatkan biasiswa.

4. Senaraipendekkan penaja yang sesuai
Berdasarkan kelayakan kita dan syarat-syarat yang dikemukan pihak penaja, senaraipendekkan biasiswa-biasiswa yang dirasakan layak memohon. Ini untuk memastikan kita fokus dan tidak membuang masa terhadap biasiswa-biasiswa yang sukar diperoleh.

5. Sediakan resume
Sebuah resume yang memaparkan maklumat-maklumat diri, kebolehan dan pencapaian perlualah disediakan sebaik-baiknya dengan memfokus kepada perkara-perkara yang boleh membantu mendapatkan biasiswa-biasiswa yang telah disenaraipendekkan. Pastikan format resume adalah betul.

6. Kumpul dokumen-dokumen sokongan
Segala dokumen-dokumen sokongan hendaklah disediakan lebih awal supaya tiada yang tertinggal. Periksa dokumen yang ada dengan yang diminta oleh penaja dan juga yang disenaraikan dalam resume. Pastikan semuanya disediakan salinan yang disahkan untuk dihantar.

7. Borang atau surat permohonan
Dapatkan borang permohonan daripada penaja jika ada. Jika tiada, sediakan sekeping surat permohonan. Jangan ragu-ragu atau takut untuk menghubungi pihak penaja jika ada sebarang kekeliruan dan pertanyaan.

8. Mematuhi syarat-syarat permohonan
Pastikan anda mematuhi semua syarat-syarat permohonan. Isi borang mengikut arahan yang telah diberi. Sediakan dokumen-dokumen sokongan seperti yang diminta. Hantar permohonan ke alamat yang sepatutnya sebelum tarikh tutup yang ditetapkan. Jika perlu dihantar secara 'online', tukarkan kesemua borang, surat dan dokumen ke format PDF dan hantar melalui emel anda sendiri.

9. Selepas permohonan
Selepas menghantar permohonan biasiswa, hubungi penaja 3-4 hari selepas itu untuk memastikan semuanya telah diterima. Banyakkan berdoa agar terpilih ke peringkat seterusnya. Pihak penaja mungkin akan memilih calon-calon berpotensi untuk ditemuduga, jadi bersedialah untuk ditemuduga. Jika setelah beberapa lama tidak dihubungi, anda mungkin tidak terpilih. Usah berputus asa, mulakan untuk memohon dengan penaja-penaja yang lain.

Kejayaan mendapatkan tajaan biasiswa yang baik bergantung kepada nasib dan usaha, lebih banyak bergantung kepada usaha. Jadi, pastikan anda memberi komitmen dan daya usaha sepenuhnya untuk memastikan tuah anda mendapat biasiswa.

Klik di sini untuk mendapatkan senarai 57 biasiswa yang terdapat di Malaysia
 Klik di sini untuk review Kit Biasiswa

Awas Biasiswa Palsu!

Awas Biasiswa Palsu!


Awas dengan biasiswa palsu! Walaupun jarang kedengaran berita-berita di Malaysia yang memaparkan berita-berita melibatkan penipuan biasiswa, namun perkara ini banyak terjadi di luar negara. Para penipu mengambil kesempatan terhadap para pelajar yang berharap untuk mendapat biasiswa; mereka ditipu untuk dibayar atau melakukan sesuatu yang diingini oleh penipu. Ramai yang telah kerugian wang akibat terpedaya dengan skim biasiswa palsu yang diiklankan. Tidak mustahil untuk perkara sebegini berlaku di negara kita suatu hari nanti. Gunakan panduan-panduan yang diberikan ini untuk memastikan kejadian ini tidak berlaku pada anda.

1. Tiada maklumat perhubungan
Jika anda terjumpa mana-mana iklan tawaran biasiswa yang tidak memaparkan sebarang maklumat untuk menghubungi pihak penaja, sila berhati-hati. Ini adalah ciri utama skim biasiswa palsu.

2. Tiada rekod tawaran sebelum ini
Periksa samaada tawaran pernah dibuka sebelum ini. Periksa juga jika pernah ada mana-mana pelajar yang ditaja oleh skim biasiswa tersebut. Kemungkinan biasiswa adalah biasiswa baru ataupun biasiswa palsu. Berhati-hati dan periksa dengan lebih teliti lagi.

3. Yuran permohonan
Jika pihak pengiklan tawaran biasiswa meminta bayaran untuk sebarang permohonan, berkemungkinan besar itu adalah biasiswa palsu. Mereka mungkin mendakwa bayaran perlu untuk memastikan pemohon yang serius sahaja, ataupun sebagai deposit yang akan dipulangkan semula. Usah mudah terpedaya dan jauhilah mereka. Amat pelik jika memerlukan wang untuk memberi wang. Pihak penaja yang ikhlas menaja biasiswa biasanya tidak akan mengenakan sebarang bayaran kepada pemohon.

4. Layanan kasar
Anda digalakkan menghubungi pihak penaja sebelum menghantar permohonan. Di samping mendapatkan maklumat lebih lanjut, anda berpeluang memeriksa penaja tersebut, samaada palsu ataupun benar. Jika anda menerima layanan yang kasar dan tidak sewajarnya, tidak perlulah membazir masa dan tenaga untuk menghantar permohonan lagi.

5. Siapa cepat dia dapat
Ada penaja biasiswa membuat tawaran 'siapa cepat dia dapat', bermakna siapa yang hantar dulu pasti akan berjaya mendapat biasiswa. Ini adalah salah satu taktik skim biasiswa palsu. Jadi, berhati-hatilah jika ternampak tawaran sebegini.

6. Pemberitahuan melalui telefon
Amat jarang pihak penaja memaklumkan tentang pemilihan calon tajaan kepada yang layak melalui telefon. Sebaliknya, cara yang biasa digunakan adalah melalui emel, surat rasmi disertai pengumuman di akhbar-akhbar atau laman web mereka. Oleh itu, sekiranya anda ada dimaklumkan bahawa anda dipilih untuk biasiswa, cuba periksa dahulu kesahihan berita tersebut di laman web penaja atau tunggu surat rasmi terlebih dahulu.

7. Semua orang layak
Jika ada penaja biasiswa yang meletakkan syarat-syarat kelayakan yang amat rendah dalam tawaran mereka seolah-olah semua orang layak memohon, berhati-hatilah. Pihak penaja biasiswa yang sebenar semestinya mengkehendaki calon-calon yang terbaik untuk ditaja. Meletakkan syarat-sayarat yang amat minimum akan menyusahkan mereka untuk memilih kerana permohonan yang terlalu banyak.

8. Syarikat baru ditubuhkan
Penaja biasiswa dari kalangan syarikat-syarikat swasta biasanya adalah organisasi-organisasi besar yang telah lama bertapak dan mempunyai kedudukan yang kukuh. Jarang untuk sebuah syarikat baru atau kecil untuk menawarkan biasiswa. Jika ada, harus berhati-hati dan periksa dahulu latarbelakang syarikat dan skim biasiswa yang ditawarkan.

9. Iklan yang meragukan
Sebarang unsur-unsur yang meragukan dalam iklan tawaran seperti nama penaja yang tidak diketahui, tarikh tutup tidak dinyatakan dan maklumat-maklumat yang mengelirukan adalah antara ciri-ciri skim biasiswa palsu.

10. Meminta maklumat tidak sepatutnya
Beberapa maklumat sulit, terutamanya nombor akaun bank dan kad ATM tidak seharusnya diberikan kepada pihak penaja sebelum anda disahkan mendapat biasiswa yang ditawarkan. Jika ada yang meminta lebih awal, selidiki mengapa dan untuk apa maklumat tersebut diperlukan. Jika jawapan yang diberikan adalah munasabah dan menyakinkan, bolehlah diberi maklmumat yang diminta. Jika tidak, berhati-hatilah.

Itulah saja beberapa ciri penting yang perlu diteliti untuk menentukan samaada tajaan biasiswa yang diiklankan adalah betul ataupun palsu. Mungkin kes-kes penipuan skim biasiswa tidak pernah didengari sepertimana penipuan lain contohnya skim cepat kaya dan skim pelaburan palsu, tetapi kemungkinan untuk berlaku tetap ada. Harus diingat, penjenayah sekarang semakin licik memperdaya mangsa. Mana tahu, jika anda tidak berhati-hati, andalah mangsa pertama untuk kes sebegini.

Klik di sini untuk mendapatkan senarai 57 biasiswa yang terdapat di Malaysia
 Klik di sini untuk review Kit Biasiswa

Syarat-syarat Asas Tawaran Biasiswa

Syarat-syarat Asas Tawaran Biasiswa


Memang tidak dinafikan, tawaran tajaan biasiswa amatlah sedikit jika dibandingkan dengan keseluruhan jumlah pelajar yang melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi. Oleh itu, persaingan untuk mendapatkan tajaan sangat sengit, terutamanya untuk biasiswa-biasiswa popular seperti biasiswa JPA, biasiswa Mara dan biasiswa Petronas. Kerana itulah, beberapa syarat asas telah diletakkan oleh setiap penaja untuk menapis calon-calon yang betul-betul layak dan memerlukan tajaan tersebut. Syarat-syarat yang diletakkan mungkin berbeza antara satu penaja dengan penaja yang lain. Namun, beberapa syarat umum yang biasanya di lihat adalah:

1. Kecemerlangan akademik
Mempunyai keputusan akademik yang cemerlang menjadi pra-syarat utama yang dilihat oleh para penaja untuk memilih calon yang sesuai. Lihatlah kepada mana-mana tawaran biasiswa, antara ayat-ayat yang sering terdapat dalam syarat-syarat permohonan adalah seperti "Mendapat minimum 7A dan semua A dalam matapelajaran teras SPM" ataupun "Mendapat sekurang-kurangnya CGPA 3.5 ke atas". Anda setuju? Jadi, pastikan anda sentiasa berusaha untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang supaya peluang anda untuk mendapatkan tajaan biasiswa terbaik terbuka luas.

2. Kegiatan kokurikulum
Walaupun ada penaja biasiswa yang tidak meletakkan syarat-syarat aktif kegiatan kokurikulum dalam tawaran mereka, tetapi hakikatnya perkara inilah yang sering dinilai selain daripada kecemerlangan akademik dalam memilih calon-calon tajaan. Kebolehan memimpin, sumbangan dan keterlibatan aktif dalam aktiviti-aktiviti persatuan, kelab atau kerja-kerja kemasyarakatan memberi impak yang besar ke atas penilaian seorang pelajar oleh penaja biasiswa. Pelajar yang cemerlang seharusnya cemerlang dalam kedua-dua bidang kurikulum dan kokurikulum, dan kriteria inilah yang dicari oleh penaja-penaja biasiswa.

3. Latarbelakang sosioekonomi
Sesetengah penaja turut melihat kepada latarbelakang keluarga atau sosioekonomi pemohon-pemohon sebelum memilih bakal calon tajaan. Contohnya seperti tempat tinggal samaada di bandar atau luar bandar, latabelakang pendidikan pemohon, pekerjaan ibubapa dan jumlah pendapatan mereka. Walaupun kriteria ini tidaklah signifikan dan tidak boleh diubah, namun turut memainkan peranan dalam penilaian ke atas pemohon. Tetapi, harus diingat, pemohon hendaklah mengisi dan memaklumkan maklumat-maklumat yang betul semasa memohon tajaan. Janganlah cuba untuk menyembunyikan sebarang maklumat. Jika tertangkap, anda mungkin akan disenaraihitamkan.

4. Anak kakitangan
Penaja-penaja biasiswa terutamanya syarikat-syarikat swasta mengutamakan pemohon-pemohon yang merupakan anak kepada kakitangan syarikat. Walaupun kedengaran seperti tidak adil, namun inilah cara syarikat tersebut menghargai sumbangan yang telah diberi oleh kakitangan mereka. Jadi, sekiranya ububapa anda bekerja dengan syarikat-syarikat yang ada menawarkan biasiswa, jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan biasiswa tersebut. Bagi yang bukan anak kakitangan, tidaklah bermakna peluang anda tertutup terus. Anda masih boleh cuba memohon. Mana tahu, ada rezeki anda.

5. Sesi temuduga
Setelah menerima dan menyaring permohonan yang diterima, pihak penaja biasanya akan menyenaraipendekkan calon-calon yang berpotensi untuk dipanggil ke sesi temuduga. Sesi temuduga adalah berbeza-beza antara setiap penaja. Ada yang mengambil masa sehari sahaja, ada yang sehingga beberapa hari, ada yang melibatkan sesi soal jawab individu, ada yang melibatkan perbincangan kumpulan dan lain-lain. Pokoknya, adalah untuk menilai ketrampilan, karisma dan kebolehan calon-calon. Maklumlah, memilih calon tajaan adalah seumpama memilih potensi pekerja untuk penaja. Jadi, semestinya penaja akan mencari yang terbaik dari kalangan yang terbaik. Pencapaian calon semasa sesi temuduga adalah faktor yang paling penting dalam memastikan kejayaan mendapat biasiswa. Oleh itu, jika anda berjaya dipanggil untuk sesi temuduga, pastikan anda bersiap-sedia sepenuhnya. Jangan lupa untuk dapatkan panduan dan tips menghadiri temuduga biasiswa untuk membantu anda.

6. Kursus pengajian
Beberapa penaja telah menetapkan tajaan untuk pelajar-pelajar kursus-kursus tertentu sahaja. Sebagai contoh, bank-bank semestinya menawarkan tajaan untuk pelajar kursus berkaitan pengurusan kewangan, akaun dan perniagaan sahaja. Syarikat-syarikat minyak dan gas pula akan memilih calon-calon pengajian kursus berkaitan kejuruteraan. Manakala syarikat farmaseutikal akan lebih cenderung dengan calon-calon yang memilih kursus berkaitan farmasi dan sains. Jadi, pilihlah penaja-penaja yang sesuai dengan kursus yang anda ambil.

7. Lain-lain
Antara syarat-syarat lain yang mungkin diletakkan oleh penaja adalah seperti kewarganegaraan, taraf bumiputera, jantina, tempat pengajian, taraf kesihatan dan beberapa sijil pencapaian yang perlu diperoleh oleh bakal-bakal pemohon. Jadi, telitilah betul-betul syarat-syarat yang diletakkan agar anda memilih biasiswa yang sesuai dengan anda.

Klik di sini untuk mendapatkan senarai 57 biasiswa yang terdapat di Malaysia
 Klik di sini untuk review Kit Biasiswa

Perbezaan Biasiswa dan Pinjaman Pelajaran

Biasiswa dan Pinjaman Pelajaran


Apabila melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi, bagi pelajar yang tidak berkemampuan, pastinya mengharapkan biasiswa sebagai bantuan kewangan. Antara biasiswa popular yang menjadi idaman mahasiswa adalah biasiswa JPA dan biasiswa Mara. Namun, oleh kerana kuota yang terhad, hanya pelajar berkelayakan sahaja yang terpilih. Bagi yang gagal, pinjaman pelajaran menjadi pilihan. Hakikatnya, masih banyak lagi biasiswa-biasiswa 'low profile' yang ada ditawarkan di Malaysia yang boleh dimohon oleh para pelajar. Tetapi, oleh kerana tidak tahu, ramai yang memilih mengambil pinjaman seperti pinjaman PTPTN dan pinjaman Mara, malah ada yang mengambil pinjaman dengan bank-bank. Amatlah rugi bagi mereka yang terlepas memohon mendapatkan biasiswa.

Adakah anda tahu kelebihan-kelebihan mendapatkan biasiswa?

1. Bantuan kewangan percuma
Inilah kelebihan yang paling signifikan bagi biasiswa berbanding pinjaman pelajaran. Bantuan tajaan biasiswa yang diberi adalah percuma selagi pelajar memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam kontrak biasiswa. Berbanding dengan pinjaman yang mana pelajar akan dikehendaki mebayar bantuan kewangan yang diberi sebaik sahaja menamatkan pengajian. Bayangkan, jika anda ditaja dengan pinjaman pelajaran, sebaik sahaja tamat pengajian, anda telahpun menanggung beban hutang yang banyak. Lebih teruk lagi, bagi pinjaman yang mempunyai kadar faedah tertentu, kelewatan membayar balik pinjaman akan menyebabkan jumlah yang perlu dibayar menjadi semakin tinggi, kadang-kadang mencapai jumlah yang tidak munasabah. Bagaimana untuk membayar hutang tersebut jika selepas pangajian masih belum mendapat pekerjaan? Kesimpulannya, berusahalah untuk layak dan memohon biasiswa bagi meneruskan pengajian di peringkat tinggi.

2. Bantuan kewangan yang lebih tinggi
Kebiasaannya, bantuan yang diberikan oleh penaja-penaja biasiswa akan meliputi bayaran yuran dan bantuan sara hidup, dan jumlahnya adalah lebih besar jika dibandingkan dengan pinjaman pelajaran. Saya masih teringat di waktu belajar dulu, seorang rakan merungut kerana pinjaman yang diperolehinya adalah sedikit dan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan beliau. Seorang rakan lain pula mengatakan yang saya ini beruntung, kerana mendapat tajaan biasiswa yang percuma dengan jumlah yang besar. Realitinya memang sbegitu, kerana organisasi yang memberi pinjaman biasanya tidak akan memberi pinjaman dalam jumlah yang terlalu tinggi, dibimbangi pelajar akan dibebani dengan jumlah hutang yang tinggi dan tidak mampu membayarnya kelak.

3. Kontrak kerja
Sesetengah penaja biasiswa mengkehendaki pelajar yang ditaja untuk menndatangani kontrak kerja dengan organisasi penaja selepas tamat pengajian kelak. Ini adalah situasi menang-menang antara penaja dan yang ditaja. Bukankah ini sesuatu yang baik? Pada masa-masa sekarang yang mana persaingan mendapatkan kerja amatlah tinggi, mempunyai jaminan pekerjaan sebelum menamatkan pengajian pastinya melegakan. Memang sangat beruntung bagi mereka yang mendapat tajaan biasiswa.

4. Kursus, seminar dan aktiviti-aktiviti menarik
Semasa saya di universiti dulu, ada seorang rakan yang mendapat tajaan daripada sebuah syarikat swasta. Menariknya, selain daripada jumlah tajaan yang lebih tinggi berbanding saya yang mendapat tajaan biasiswa JPA, beliau kadang-kadang diundang menghadiri seminar, kursus dan aktiviti-aktiviti lain yang menarik di tempat-tempat yang menarik oleh penaja beliau. Memang beliau menjadi bahan cemburu rakan-rakan yang lain. ada beberapa penaja sering mengadakan aktiviti-aktiviti menarik untuk pelajar-pelajar tajaan mereka. Selain menambah motivasi para pelajar, aktiviti-aktiviti sebegini membolehkan pelajar-pelajar tajaan dari universiti-universiti yang berbeza untuk saling kenal-mengenali. Seronokkan?

Itulah serba-sedikit kelebihan mendapatkan biasiswa berbanding pinjaman pelajaran. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk memohon mendapatkan biasiswa. Hantarlah permohonan anda kepada sebanyak mungkin penaja berpotensi supaya peluang anda mendapat biasiswa adalah cerah.

Klik di sini untuk mendapatkan senarai 57 biasiswa yang terdapat di Malaysia
 Klik di sini untuk review Kit Biasiswa
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tentang Blog

Blog ini bertujuan memberi panduan dan tips berkaitan biasiswa dan pinjaman pelajaran. Sebarang komen, cadangan dan pertanyaan boleh diemel ke mysohojob[at]gmail.com (gantikan [at] dengan @)

Kit Biasiswa

Iklan Premium

Kit Biasiswa

Iklan Premium

Entri Popular

Kit Biasiswa

Senarai Agensi Kerajaan

Kerjaya Swasta

Rahsia Resume Kerja

Rahsia Temuduga Kerajaan

loading...

Pautan Luar

BlogMalaysia.com