Biasiswa Pelajaran | Pinjaman Pelajaran | Dermasiswa

Tips Biasiswa: Panduan Mencari Biasiswa Untuk Ibubapa

Tips Biasiswa: Panduan Mencari Biasiswa Untuk Ibubapa


Ramai orang percaya bahawa menjadi ibubapa adalah saat yang paling membahagiakan dalam kehidupan. Jika anda seorang ayah, mungkin masih teringat keseronokan yang dirasai pada saat isteri anda melahirkan anak yang pertama. Walaupun anda terpaksa berjaga hampir setiap malam, namun anda sanggup berkorban demi menjaga anak kesayangan. Ibubapa yang baik pastinya sanggup berkorban apa sahaja untuk memastikan anak-anak mendapat kehidupan yang sempurna.


Memang tidak dinafikan bahawa mempunyai anak-anak mendatangkan kebahagiaan. Namun begitu, kebahagiaan hakiki hanya dapat dicapai jika anda menumpahkan tanggungjawab sepenuhnya ke atas mereka. Ibubapa yang bertanggungjawab akan berusaha untuk menyediakan kesemua keperluan anak-anak; keperluan fizikal, emosi dan pendidikan. Walaupun kos pendidikan, terutamanya di peringkat universiti adalah tinggi, ibubapa bertanggungjawab untuk menyediakan kesemuanya untuk menampung keperluan anak-anak.

Jika sekarang anda mempunyai anak yang akan melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, anda patut mula berfikir tentang keperluan kewangan dan pembiayaan anak anda. Mungkin anda dulu pernah melalui pengalaman sebagai seorang mahasiswa, dan semestinya anda menyedari betapa banyak wang belanja yang diperlukan. Namun, perbezaannya sekarang, anda adalah ibubapa, dan anda bertanggungjawab untuk mencari sumber kewangan untuk menampung perbelanjaan anak anda di peringkat universiti; membayar yuran, sara hidup, alat-alat tulis, tempat tinggal, pengangkutan dan lain-lain yang pastinya memakan belanja yang besar. Lebih-lebih lagi jika anak anda belajar jauh dari tempat tinggal sekarang, sudah semestinya lebih banyak perbelanjaan diperlukan.

Memikirkan tentang perbelanjaan menampung pengajian anak-anak sememangnya akan mendatangkan tekanan dan sakit kepala, terutamanya jika pendapatan anda sekarang hanya cukup-cukup untuk menampung keperluan asas keluarga. Walaupun anda mungkin ada menyimpan untuk pendidikan anak-anak, simpanan anda mungkin masih belum mencukupi. Di sinilah pentingnya untuk anda mengetahui sumber-sumber kewangan yang dapat membantu mengatasi masalah ini. Bagaimana untuk anda mula mencari sumber-sumber bantuan ini? Berikut adalah beberapa tips yang boleh dijadikan panduan:

1. Semasa anak anda hampir menamatkan persekolahan ataupun kolej matrikulasi, anda sebaik-baiknya mula mencari tawaran-tawaran biasiswa yang ada diiklankan di akhbar-akhbar atau laman web. Yang penting, kenalpasti penaja, syarat-syarat kelayakan dan tarikh tutup permohonan biasiswa.

2. Mencari universiti-universiti atau kolej-kolej yang ada menawarkan bantuan biasiswa atau pinjaman pelajaran kepada para pelajar. Kenalpasti juga kursus-kursus pengajian yang ada ditawarkan. Jika berpeluang, boleh meminta anak-anak untuk menimbang membuat permohonan kemasukan ke universiti atau kolej tersebut.

3. Jika anda bekerja dengan sebuah syarikat besar, boleh bertanya kepada majikan samaada menyediakan bantuan biasiswa atau pinjaman pelajaran untuk anak-anak kakitangan. Jika ada, jangan ketinggalan untuk memohon bantuan tersebut kerana peluang untuk anak anda mendapat bantuan tersebut adalah lebih cerah bersandarkan kedudukan anda sebagai kakitangan syarikat.

4. Jangan lupa untuk mencari maklumat berkenaan bantuan biasiswa yang ditawarkan kerajaan persekutuan dan negeri. Kerajaan persekutuan biasanya menawarkan biasiswa melalui agensi-agensinya seperti JPA, Mara dan Bank Negara, manakala kerajaan negeri melalui yayasan anak negeri. Boleh juga memohon daripada pusat-pusat zakat negeri.

5. Meminta bantuan kepimpinan kawasan seperti wakil rakyat, penghulu ataupun ketua kampung. Mereka mungkin ada mengenali individu-individu yang bermurah hati menawarkan bantuan kewangan kepada para pelajar. Anda boleh mencuba untuk meminta bantuan daripada mereka.

6. Sekarang ini, banyak bank-bank komersial dan institusi-institusi kewangan seperti koperasi ada menawarkan bantuan biasiswa dan pinjaman pelajaran. Lebih baik lagi, pinjaman pelajaran yang ditawarkan biasanya mempunyai kadar faedah yang lebih rendah daripada pinjaman-pinjaman lain.

7. Berbincang dengan anak berkenaan bantuan biasiswa dan pinjaman pelajaran yang sesuai. Nasihati anak anda supaya cermat menguruskan perbelanjaan semasa di universiti kelak. Sedarkan dia bahawa dia bertanggungjawab sepenuhnya ke atas semua perbelanjaan yang akan dilakukan.

Dengan pelbagai bentuk dan saluran bantuan biasiswa yang tersedia, masa depan pembelajaran anak-anak anda adalah terjamin walaupun anda mengalami kesempitan wang untuk menampung pendidikan anak-anak anda. Yang penting, anda dan anak anda harus berusaha untuk mendapatkan biasiswa yang terbaik.

Klik di sini untuk mendapatkan senarai 57 biasiswa yang terdapat di Malaysia
 Klik di sini untuk review Kit Biasiswa

Tips Biasiswa: Panduan Sebelum dan Semasa Sesi Temuduga Biasiswa

Tips Biasiswa: Panduan Sebelum dan Semasa Sesi Temuduga Biasiswa


Menghadapi temuduga biasiswa sama pentingnya seperti menghadapi temuduga kerja. Temuduga biasiswa menentukan kejayaan anda untuk mendapatkan tajaan biasiswa pilihan dan seterusnya mempengaruhi kehidupan anda dalam tempoh bergelar mahasiswa nanti. Malahan, dengan mendapatkan biasiswa, anda mungkin telah menjamin masa depan kerjaya anda kerana ada penaja biasiswa yang menawarkan kontrak kerja sebaik saja tamat pengajian. Tidak dinafikan, rasa gemuruh ketika menghadapi sesi temuduga akan menyebabkan calon-calon hilang arah, kelu lidah dan tidak dapat menonjolkan kebolehan diri yang sebenar. Namun, sekiranya anda membuat persedian awal, anda akan dapat menguasai sesi temuduga biasiswa nanti. Berikut adalah beberapa panduan dan tips untuk menghadapi sesi temuduga biasiswa:

Sebelum Temuduga

1. Bersiap-sedia sebaik-baiknya
Fikirkan berkenaan objektif dan tujuan sesi temuduga tersebut dijalankan. Semak semula maklumat-maklumat berkenaan diri anda yang anda telah diberikan kepada pihak penaja semasa membuat permohonan biasiswa. Kemungkinan besar, soalan-soalan yang ditanya akan berdasarkan kepada maklumat-maklumat yang telah anda berikan. Cipta beberapa soalan yang mungkin ditanya, dan rangka jawapan yang sesuai. Pastikan jawapan yang diberi menonjolkan kebolehan diri anda.

2. Berlatih bersama-sama rakan
Anda mungkin akan menghadiri sesi temuduga biasiswa bersama-sama rakan-rakan anda. Jika ada, perlulah saling berbincang, bertukar-tukar pendapat berkenaan sesi temuduga nanti dan berlatihlah bersama-sama untuk menghaadapi sesi temuduga biasiswa itu. Minta rakan-rakan anda untuk mengesan sebarang kelemahan percakapan anda, seperti kerap mengulang perkataan-perkataan tertentu, frasa ayat yang salah dan tona suara yang tidak sesuai. Perbetulkan sebelum hari temuduga biasiswa anda.

3. Siapkan semua dokumen-dokumen yang perlu
Semasa diberitahu yang anda layak untuk menghadiri sesi temuduga biasiswa, pihak penaja mungkin akan meminta anda untuk membawa beberapa dokumen penting. Jika tidakpun, pastikan anda membawa salinan borang permohonan, surat sokongan dan salinan-salinan asal sijil-sijil yang telah anda hantar. Siapkan semuanya, dan susun dengan baik dalam sebuah fail yang mudah dibelek dan dilihat.

Semasa Temuduga

1. Pakaian yang sesuai
Jagalah penampilan anda ketika menghadiri sesi temuduga biasiswa. Penampilan anda memberi tanggapan pertama kepada para penilai biasiswa. Pakai pakaian yang selesa dan tidak terlalu kasual. Sebaik-baiknya, pakai pakaian formal dan tidak melebihi dua warna. Gabungan putih dan hitam adalah yang terbaik. Sila pakai kasut dan stokin, jangan sekali-kali memakai selipar!

2. Menepati waktu
Berikan tanggapan yang baik terhadap diri anda dengan tiba tepat pada waktunya. Jangan sekali-kali lewat! Rancang perjalanan dengan baik supaya tiba dengan selamat sebelum sesi temuduga biasiswa bermula. Dengan tiba sebelum masanya, anda bukan sahaja memberi tanggapan yang baik, malah memberi anda lebih ruang masa untuk bertenang dan bersedia sebelum berdepan dengan panel-panel penemuduga.

3. Jaga percakapan anda
Apabila ditanya, jawablah dengan ayat penuh dalam nada penuh keyakinan dan tona suara yang sesuai. Elakkan terlalu banyak mengulang perkataan-perkataan celahan seperti 'hhmm', 'eee' dan 'lah'. Jika ditanya soalan-soalan tertutup yang memerlukan jawapan ya atau tidak, berikan sedikit penjelasan kepada setiap jawapan yang anda beri. Panel penemuduga mungkin ingin menguji keupayaan anda untuk memberi penjelasan. Jika ada sebarang soalan yang tidak difahami, tidak salah untuk meminta panel penumduga memberi penjelasan atau mengubah struktur soalan. Tetapi, awas, jagan terlalu kerap!

4. Perhatikan bahasa tubuh anda
Postur tubuh, pergerakan mata, senyuman anda, semuanya akan diperhatikan oleh panel penemuduga. Pastikan anda menunjukkan bahasa tubuh yang meyakinkan. Letakkkan kedua-dua tangan anda di atas paha ataupun meja, menunjukkan seolah-olah anda dalam keadaan tenang. Elakkan tangan dari menyentuh muka, menggaru kepala atau menyentuh rambut.

5. Pandangan mata yang betul
Semasa sesi temuduga biasiswa, pastikan mata anda memandang kepada penemuduga. Jika da lebih daripada seorang, pandanglah kepada yang bertanyakan soalan kepada anda. Jangan memandang lantai atau siling semasa mendengar atau bercakap.

6. Beri jawapan yang meyakinkan
Apabila menjawab soalan-soalan penemuduga, huraikan jawapan anda dengan sejelas-jelasnya. Harus diingat, panel penemudugalah yang akan menentukan samaada jawapan anda betul atau salah. Jika penemuduga cuba melakukan provokasi dengan anda, bertenang dan jelaskan sebaik-baiknya kenapa pendapat anda bertentangan dengan beliau. Berikan jawapan-jawapan yang akan menonjolkan kelebihan diri anda. Jika ditanya tentang kelemahan diri anda, jangan mencipta alasan, sebaliknya akui dan tonjolkan kelebihan kita dalam bidang yang lain. Huraikan bagaimana kelebihan tersebut dapat menyembunyikan kelemahan yang ada.

7. Penutup yang baik
Pastikan anda mempunyai penutup yang baik. Panel penemuduga mungkin akan meminta anda untuk menanyakan sebarang soalah kepada mereka. Sebaik-baiknya, anda bersedia dengan satu atau dua soalan yang berkaitan dengan topik yang dibincangkan semasa sesi temuduga, tentang biasiswa yang dimohon atau kemajuan organisasi penaja. Penutup yang baik menunjukkan anda melibatkan diri dengan baik dalam sesi temuduga tersebut. Ucapkan terima kasih kerana memberi peluang untuk menghadiri sesi temuduga. Keluar dari bilik temuduga dengan beradab, jangan terburu-buru dan jangan pula berlengah-lengah.

Selain panduan-panduan di atas, beberapa perkara yang pelu dielakkan adalah:
1. Mengunyah sesuatu
2. Menagih simpati
3. Menguap
4. Melihat pada jam
5. Kelihatan bosan
6. Gelisah berlebih-lebihan

Klik di sini untuk mendapatkan senarai 57 biasiswa yang terdapat di Malaysia
 Klik di sini untuk review Kit Biasiswa

Tips Biasiswa: Soalan-soalan Panas Patut Ditanya Tentang Biasiswa

Tips Biasiswa: Soalan-soalan Panas Patut Ditanya Tentang Biasiswa


Dengan pelbagai pilihan tajaan biasiswa yang terdapat di Malaysia, para pelajar kadang-kadang menjadi keliru untuk memilih yang paling baik dan sesuai untuk mereka. Untuk memohon kepada semua jenis biasiswa yang ada, mungkin akan memakan masa dan membuatkan pelajar hilang fokus untuk memberikan yang terbaik semasa membuat permohonan biasiswa. Sebaik-baiknya, para pelajar hanya fokus kepada beberapa jenis biasiswa yang sesuai dengan kelayakan mereka dan mempunyai peluang yang cerah untuk terpilih. Untuk tujuan ini, beberapa soalan boleh ditanya untuk menentukan jenis biasiswa yang terbaik untuk dibuat permohonan. Dengan bertanyakan soalan-soalan yang berikut, para pelajar tidak akan mudah hilang fokus:

1. Berapa lama tempoh tajaan biasiswa?
Soalan ini perlu ditanya kepada semua jenis biasiswa kerana setiapnya mempunyai tempoh tajaan yang mungkin berbeza. Sesetengahnya mungkin hanya untuk beberapa tahun pengajian, ada yang sehingga tamat pengajian. Ada yang membenarkan pelanjutan tempoh tajaan jika pelajar tidak dapat menghabiskan pengajian dalam masa sepatutnya, ada juga yang tidak. Sebaik-baiknya, pilihlah skim biasiswa yang akan menaja sehingga tamat tempoh pengajian dan boleh dilanjutkan tempoh tajaan. Bakal pemohon dinasihatkan menghubungi pihak penaja untuk bertanyakan tentang hal ini kerana mungkin tidak tercatat dalam iklan tawaran.

2. Berapa jumlah tajaan?
Sekali lagi, jawapan untuk soalan ini mungkin berbeza antara satu tajaan biasiswa dengan yang lain. Kebanyakan skim biasiswa akan membiayai sepenuhnya yuran pengajian dan bantuan sara hidup. Walaupun kedua-duanya ditaja, jumlah tajaan mungkin berbeza. Ada juga penaja biasiswa yang membiayai jumlah yang berbeza mengikut zon; zon bandar menerima lebih banyak tajaan berbanding zon luar bandar. Namun, ada juga yang hanya membayar yuran pengajian atau bantuan sara hidup sahaja. Jumlah tajaan biasanya tidak dinyatakan dalam ilan tawaran. Jadi, bakal pemohon perlulah aktif bertanya agar tidak tersalah pilih.

3. Bagaimana bayaran biasiswa akan dibuat?
Sesetengah penaja memasukkan terus kesemua bayaran biasiswa ke dalam akaun pelajar tajaan. Kemudian, terpulang kepada kebijaksanaan pelajar untuk mengagihkan biasiswa yang diterima untuk membayar yuran dan sara hidup. Ada juga penaja yang membayar melalui pihak universiti. Pihak universiti akan terus memotong untuk yuran pengajian dan selebihnya akan diberikan kepada pelajar untuk sara hidup. Pada pendapat saya, cara yang terbaik adalah dengan membayar kepada kedua-duanya; pihak penaja membayar kepada universiti jumlah yuran pengajian yang diminta dan selebihnya pihak penaja masukkan ke dalam akaun pelajar. Cara ini adalah lebih telus.

4. Apakah syarat-syarat minimum untuk mengekalkan tajaan biasiswa?
Walaupun anda telahpun dianugerahkan tajaan biasiswa, namun anda masih terikat dengan syarat-syarat tertentu untuk mengekalkan tajaan yang diperoleh. Pelajar selalunya dikehendaki mengekalkan pencapaian CGPA minima seperti yang ditetapkan, menyertai aktiviti-aktiviti kokurikulum dan menghadiri program yang dijalankan pihak penaja jika ada. Amatlah penting untuk pemegang biasiswa mengetahui tentang syarat-syarat ini agar mereka tanpa sedar hilang kelayakan tajaan biasiswa. Amatlah malang kehilangan sesuatu yang berharga akibat kecuaian diri sendiri.

5. Bolehkah ditaja beberapa biasiswa?
Ini sebenarnya bergantung kepada budi bicara setiap penaja biasiswa yang terlibat. Namun, kebiasaannya, pelajar tidak boleh mendapat lebih dari satu biasiswa pada satu-satu masa. Pelajar mungkin boleh bertukar pihak penaja, tetapi tidak boleh memegang dua skim biasiswa serentak. Sebagai nasihat, usahlah tamak dalam mendapatkan biasiswa. Sekiranya ditangkap yang anda memegang lebih dari satu biasiswa serentak, anda mungkin akan kehilangan kesemuanya dan tidak mendapat apa-apa tajaan biasiswa lagi.

Itulah sahaja beberapa soalan yang boleh dijadikan panduan dalam memilih biasiswa yang sesuai untuk dimohon. Mendapatkan biasiswa adalah kejayaan, tetapi mendapatkan biasiswa yang terbaik adalah tuah.

Klik di sini untuk mendapatkan senarai 57 biasiswa yang terdapat di Malaysia
 Klik di sini untuk review Kit Biasiswa
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tentang Blog

Blog ini bertujuan memberi panduan dan tips berkaitan biasiswa dan pinjaman pelajaran. Sebarang komen, cadangan dan pertanyaan boleh diemel ke mysohojob[at]gmail.com (gantikan [at] dengan @)

Kit Biasiswa

Iklan Premium

Kit Biasiswa

Iklan Premium

Entri Popular

Kit Biasiswa

Senarai Agensi Kerajaan

Kerjaya Swasta

Rahsia Resume Kerja

Rahsia Temuduga Kerajaan

loading...

Pautan Luar

BlogMalaysia.com